Malaysia tempat ke-39 impak bersih inovasi global

Malaysia tempat ke-39 impak bersih inovasi global

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Satu laporan terbaharu menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke-39 dari segi impak atau bagaimana dasar domestiknya menyokong inovasi global.

Laporan berdasarkan tinjauan ke atas 56 negara itu adalah hasil analisis oleh Yayasan Teknologi Maklumat dan Inovasi (ITIF) yang juga kumpulan pemikir dasar teknologi global.

Dalam satu kenyataan hari ini, ITIF berkata, penilaian ke atas negara-negara yang juga mewakili hampir 90 peratus ekonomi dunia, meninjau bagaimana aspek seperti asas pendapatan per kapita, dasar ekonomi dan perdagangannya menyumbang atau menjejaskan inovasi global.

Walaupun penyelidikan sebelum ini menyenaraikan negara-negara berdasarkan kemampuan dan hasil inovasi masing-masing, laporan terbaharu ini adalah yang pertama menilai impak pelaksanaan dasar negara-negara terhadap sistem inovasi secara meluas.

“Kalangan penyelidik meninjau 14 faktor yang tidak hanya menyokong aspek inovasi domestik, tetapi impak positifnya secara global seperti sistem pencukaian dan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan serta modal insan.

“Kedudukan Malaysia di tangga ke-39 secara keseluruhannya juga jelas memaparkan gabungan dasar yang berada di tangga ke-32 terbaik dari segi sumbangan positif terhadap ekosistem inovasi global serta di tempat kelapan bagi kesan yang paling menjejaskan,” kata ITIF.

Sementara itu, Naib Presiden Inovasi Global, Stephen Ezell berkata, kekukuhan inovasi adalah asas bagi pertumbuhan dan kemajuan ekonomi.

Katanya, ketika negara-negara kian sengit bersaing bagi kepemimpinan dalam ekonomi inovasi global, mereka turut melaksanakan dasar yang biarpun memanfaatkan di peringkat tempatan, tapi menjejaskan penghasilan inovasi di peringkat global.

“Mereka sebaliknya boleh mewujudkan dasar ‘menang-menang’ yang tidak hanya mempertingkat kapasiti inovasi sendiri, tetapi turut memberi impak kepada ekonomi global,” katanya. – Bernama