Malaysia terima 3,000 pelarian Syria

Malaysia terima 3,000 pelarian Syria

NEW YORK, 2 Okt (Bernama) – Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata negara-negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir melarikan diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah.

“Sebab itu Malaysia selama ini telah mengambil banyak orang yang melarikan diri daripada peperangan, kebuluran dan penganiayaan. Kini kami mempunyai ratusan ribu migran dan kami mengambil lebih ramai awal tahun ini apabila terdapat krisis kemanusiaan di Laut Andaman,” katanya pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini, Khamis.

Katanya “kita mesti menghormati nilai kemanusiaan bersama” dan isu berjuta-juta rakyat Syria melarikan diri dari negara mereka harus menjadi kebimbangan dan perhatian dunia.

“Hanya apabila kita melangkaui batas bangsa dan anutan, hanya apabila kita melihat gambar-gambar migran yang terdesak, mangsa ekstremis dan mereka yang hidup diselubungi kebuluran dan kemiskinan – dan melihat mereka bukan sebagai orang asing tetapi sebagai saudara kita.

“Orang di seluruh dunia merayu bantuan kita. Kita tidak boleh – tidak akan membiarkannya sahaja,” kata Najib.

Perdana Menteri turut mengulangi kekecewaan Malaysia terhadap kegagalan PBB menerima pakai resolusi menubuhkan sebuah tribunal antarabangsa untuk menyiasat insiden menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 kerana kuasa veto dikenakan.