Malaysia terus bantu Indonesia padam kebakaran

Malaysia terus bantu Indonesia padam kebakaran

KANGAR, 27 Okt (Bernama) – Kerajaan Malaysia akan terus membantu Indonesia untuk memadam api kebakaran di negara itu bagi membantu mengatasi masalah jerebu yang melanda rantau ini termasuk Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, kerajaan kini menunggu kelulusan daripada Wisma Putra dan pihak tentera untuk penghantaran kapal terbang penyembur air bagi kerja-kerja memadam kebakaran berkenaan.

Penghantaran kali ini akan melibatkan dua kapal terbang penyembur air ke sana, kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Maqasid Syariah Peringkat Kebangsaan di Dewan Warisan di sini hari ini.

Seorang penduduk cuba untuk memadamkan kebakaran tanah gambut di luar bandar Palangkaraya, tengah Kalimantan pada 26 Oktober yang telah melanda selama beberapa hari di beberapa buah negara termasuk Malaysia. – AFP
Seorang penduduk cuba untuk memadamkan kebakaran tanah gambut di luar bandar Palangkaraya, tengah Kalimantan pada 26 Oktober yang telah melanda selama beberapa hari di beberapa buah negara termasuk Malaysia. – AFP

Menurut Shahidan, tempoh penghantaran kapal terbang penyembur air ke Indonesia akan mengambil kira perkembangan semasa apabila berlaku perubahan cuaca yang membawa hujan lebat.

Mengenai kedatangan musim hujan, beliau berkata persiapan sudah dilakukan untuk menggerakkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir terutama di negeri-negeri pantai timur dan sebahagian Sarawak.

Menurut beliau, sekretariat bantuan berkenaan dipindahkan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) namun MKN akan terus membantu mana-mana negeri yang lebih terdedah dengan malapetaka banjir.

ARTIKEL YANG SAMA