Malaysia teruskan peperangan menentang keganasan

Malaysia teruskan peperangan menentang keganasan

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Berikutan ancaman pengganas Daesh kepada dunia, dengan Jakarta menjadi sasaran terkini mereka, Malaysia dijadikan contoh sebagai negara yang berjaya mengekang fahaman pelampau militan.

Negara ini memerangi pemberontakan komunis selama empat dekad sejak 1940-an, memulihkan keharmonian selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, dan kini melaksanakan tugas yang baik dalam strategi anti radikalisme keganasan, menurut The Telegraph, portal berita UK.

Penganalisis bersetuju dengan portal berita itu bahawa kerajaan Malaysia sentiasa bekerja keras untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi dalam usaha membina keharmonian kaum dan mengurangkan ancaman puak pelampau di dalam negara.

Mereka memberi empat sebab bagi kejayaan Malaysia: keberkesanan undang-undang; pengagihan kekayaan yang saksama; pendirian padu rakyat terhadap keganasan; dan sistem pendidikan yang memberi tumpuan terhadap cinta kepada negara serta nilai murni.

Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia berkata negara beroleh pengalaman dalam peperangan menentang keganasan semasa pemberontakan komunis, apabila ia memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1960 yang digantikan dengan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) pada 2015.

Undang-undang lain untuk memerangi keganasan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

“Undang-undang ini cukup berkesan untuk mencegah sesiapa sahaja yang berniat jahat daripada menimbulkan huru-hara di dalam negara,” kata Mohd Azizuddin ketika dihubungi.

“Apa yang perlu ditumpukan pasukan keselamatan sekarang adalah membendung penyebaran ideologi jihad yang diputar belit menerusi media sosial.”

Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar, pensyarah di Jabatan Strategi dan Antarabangsa Universiti Malaya, berkata Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein selepas tragedi 13 Mei membawa kepada pengagihan kekayaan yang lebih saksama. Pelaksanaan dasar itu membolehkan rakyat mengambil bahagian dalam membangunkan ekonomi dan setidak-tidaknya, memenuhi keperluan mereka, katanya.

Anak lelaki Tun Razak, Perdana Menteri Datuk Seri Najib, meneruskan legasi ayahanda beliau dengan memperkenalkan Model Ekonomi Baharu pada 2010, kata Dr Mohamad.

Justeru, sejauh manakah kejayaan Malaysia dalam membasmi kemiskinan, yang merupakan matlamat utama kedua-dua dasar ekonomi berkenaan?

Pada majlis anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia pada Khamis lepas, Najib berkata paras kemiskinan di negara ini menurun daripada 49 peratus pada 1970 kepada 0.6 peratus pada 2014.

Prof Dr Ahmad Atory Hussain, pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia, berkata rakyat Malaysia berpendirian serupa dalam menentang keganasan, seperti yang dizahirkan semasa insiden pencerobohan ke atas Sabah oleh kumpulan lelaki bersenjata dari Selatan Filipina pada 2013.

“Semua pihak bersatu dalam hasrat untuk melindungi negara dan kedaulatannya,” katanya. – Bernama