Malaysia, Thailand bina tembok sempadan

Malaysia, Thailand bina tembok sempadan

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) – Malaysia dan Thailand bersetuju membina tembok dan benteng sempadan bersama bagi meningkatkan pengawasan antara kedua-dua negara itu bermula tahun depan.

Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dr. Zulkifeli Mohd Zin berkata persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan dan akan dibawa ke peringkat Parlimen untuk peruntukan bajet.

Beliau berkata beberapa buah kawasan sepanjang sempadan sudah dikenal pasti untuk pembinaan tembok atau pagar dengan kos pembinaan dan penyelenggaraannya dibiayai kedua-dua negara.

Jeneral Tan Sri Dr. Zulkifeli (kiri) beramah mesra dengan rakan sejawatnya Jeneral Worapong (kanan) selepas selesai mesyuarat di Wisma Perwira ATM. – Bernama
Jeneral Tan Sri Dr. Zulkifeli (kiri) beramah mesra dengan rakan sejawatnya Jeneral Worapong (kanan) selepas selesai mesyuarat di Wisma Perwira ATM. – Bernama

Dulunya, kalau kita buat tembok atau pagar kita buat sebelah Malaysia dan Thailand asing-asing … pada masa depan kita akan buat satu sahaja tembok di tengah antara kedua-dua sempadan negara.

“Daripada segi rondaan, Thailand akan lakukan di sebelah mereka dan kita di sebelah kita … itu lebih sempurna dan menjimatkan kos bagi kedua-dua negara,” katanya pada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Malaysia-Thailand Ke-32, di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jen Worapong Sanganetra.