Malaysia, Thailand persetujui kerjasama

Malaysia, Thailand persetujui kerjasama

PUTRAJAYA, 24 Mac (Bernama) – Malaysia dan Thailand bersetuju mewujudkan pembangunan perniagaan bersama melibatkan tenaga boleh diperbaharui di selatan Thailand serta utara Semenanjung.

Persetujuan kerjasama dalam bentuk perkongsian teknologi itu dicapai hasil pertemuan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Jeneral Ananta-porn Kanja-narat.

Mesyuarat itu bersempena acara Sustainable Energy and Technology Asia 2016 (Tenaga Mampan dan Teknologi Asia 2016) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok semalam, yang mana Ongkili adalah antara penceramah utama.

Menurut Ongkili, antara perkara yang turut dibincangkan kajian kebolehlaksanaan bersama bagi pembangunan tenaga boleh diperbaharui di kedua-dua negara, khususnya angin, biomass atau biojisim, biogas dan solar.

“Kami juga membincangkan mengenai kemungkinan import dan eksport tenaga dua hala antara kedua-dua negara,” kata Ongkili dalam kenyataan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama mereka bagi Projek Penyepaduan Tenaga Laos, Thailand, Malaysia, Singapura agar ia dapat direalisasikan menjelang 2018.

“Projek itu sepatutnya menjadi petunjuk bagi mempertingkat dagangan tenaga pelbagai pihak merentasi sempadan negara-negara jiran bagi pelaksanaan projek Grid Tenaga ASEAN,” katanya.

Ia melibatkan pemindahan tenaga sehingga 100 megawatt antara Laos dan Singapura menerusi Thailand dan Malaysia yang turut menjadi projek perintis.

Mengulas Projek Grid Tenaga ASEAN, Dr Maximus Ongkili berkata Tenaga Nasional Bhd Bhd dan Agensi Tenaga Thailand berhasrat untuk bekerjasama bagi menjayakan usaha berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA