Malaysia tidak ketepi negara lain walau sertai TPPA

Malaysia tidak ketepi negara lain walau sertai TPPA

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) – Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, mendapat banyak manfaat daripada perdagangan antarabangsa, termasuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Bagaimanapun ini tidak bermakna ia akan mengetepikan perdagangan dengan negara-negara lain di dunia, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Sukhdave Singh.

Beliau berkata, Malaysia mendapat manfaat daripada usaha mempelbagaikan perdagangannya dari segi eksport dan pasaran, tetapi adalah penting memastikan dagangan global berkembang lagi melalui TPPA.

“Tetapi, fakta yang kita berada dalam TPPA tidak bermakna kita tidak akan membentuk perikatan strategik dengan negara lain, terutama ASEAN dan Asia.

“Kita akan terus menjadi negara perdagangan dengan pelbagai rakan kongsi perdagangan,” katanya pada perbincangan panel mengenai TPPA di Forum Global Wharton 2016 di sini, Sabtu.

Sukhdave berkata, beliau bersetuju dengan cadangan bahawa sebagai masyarakat terbuka, Malaysia bersedia menjadi pemenang dalam perjanjian perdagangan itu.

“Kami mempunyai ramuan penting yang pelabur inginkan seperti infrastruktur, integrasi dengan ekonomi serantau dan global, sistem kewangan yang baik serta persekitaran kawal selia yang stabil. Semua ini menguntungkan kita.

“Kita hanya perlu berusaha ke atas faktor pemboleh lain, contohnya mempunyai dan membina bakat yang betul yang diperlukan pelabur asing, menawarkan pelabur kepastian untuk beroperasi…dan ini adalah sesuatu yang kita boleh usahakan,” katanya.

Menurut Sukhdave, Malaysia sudah pasti berpeluang meraih manfaat besar daripada perjanjian perdagangan yang besar seperti TPPA atau Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Tetapi kita tidak boleh menjadi seperti Greece. Kita perlu proaktif, mencari manfaat dan mengeksploitasi manfaat terbabit,” katanya.

Sukhdave berkata, banyak negara menghadapi krisis kewangan disebabkan mereka menggunakan kredit bagi menjana pertumbuhan yang tidak mampan. Mereka sepatutnya memberi tumpuan kepada pertumbuhan, produktiviti, daya saing dan tenaga buruh.

“Banyak negara, termasuk Malaysia, mempunyai had kepada model pertumbuhan…kita perlu memanfaatkan ekonomi global dan kita kena menguruskan kos. Itu adalah realitinya.

ARTIKEL YANG SAMA