Malaysia, UK tingkat kerjasama tangani ancaman Daesh

Malaysia, UK tingkat kerjasama tangani ancaman Daesh

PUTRAJAYA, 15 Feb – Malaysia dan United Kingdom (UK) akan meningkatkan kerjasama dalam menangani ancaman kumpulan pengganas Daesh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata perkara itu adalah antara inti pati perbincangannya bersama Menteri Perolehan Pertahanan UK Philip Dunne dalam pertemuan di pejabatnya, di sini Isnin.

Katanya kerjasama itu melibatkan pertukaran maklumat melalui Polis Antarabangsa (Interpol), kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Scotland Yard dan pihak berkuasa UK serta pemantauan media sosial.

“Digital counter messaging (Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi) akan mula beroperasi di Malaysia pada Mei nanti dan melalui kerjasama ini, saya harap jalinan antara pihak berkuasa keselamatan kedua-dua negara akan dapat dipereratkan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.

Selain itu, katanya, program pemodenan kepolisan turut dibincangkan dalam pertemuan itu terutama dalam aspek sumber peralatan dan sistem yang lebih canggih daripada UK.

MESRA... Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Philip Dunne semasa menerima kunjungan Menteri Pertahanan (Peralatan, Sokongan dan Teknologi) United Kingdom itu di Kementerian Dalam Negeri hari ini. – Bernama
MESRA… Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Philip Dunne semasa menerima kunjungan Menteri Pertahanan (Peralatan, Sokongan dan Teknologi) United Kingdom itu di Kementerian Dalam Negeri hari ini. – Bernama

Ahmad Zahid berkata program itu kini dalam peringkat mengenal pasti peralatan dan sistem yang melibatkan pertukaran daripada analog kepada digital seperti yang dilakukan banyak negara lain.

Katanya turut dibincangkan adalah mengenai program keselamatan di kawasan sempadan negara.

“Pihak Dunne mencadangkan agar teknologi yang diguna pakai di UK dapat dikombinasikan penggunaannya di Malaysia kerana kita mempunyai kawasan sempadan perairan yang agak panjang selain sempadan darat di utara semenanjung dan di Sabah dan Sarawak,” katanya. –Bernama