Malbatt 850-4 tiba di Lubnan

Malbatt 850-4 tiba di Lubnan

BEIRUT, 8 Sept – Pasukan Pengaman Malaysia (Malbatt) 850-4, yang turut disertai 28 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB)  tiba di Kem Ma’rakah, Tyre, pada Khamis, kira-kira 80 kilometer dari Beirut untuk misi keamanan di Lubnan.

Sejumlah 215 anggota dan pegawai kumpulan pertama yang diketuai Komander Malbatt 850-4, Kolonel Nazim Mohd Alim, tiba di kem itu pada pukul 3 pagi Khamis waktu tempatan yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel.

Kumpulan itu akan meneruskan tradisi kecemerlangan untuk menyambung misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) dan menggantikan kumpulan Malbatt 850-3 yang dijadual pulang ke Kuala Lumpur secara berperingkat. Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum mengiringi kumpulan itu bersama Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat Mejar Jen Datuk Mohd Ramli Jaafar serta pegawai-pegawai kanan kementerian. Mereka berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada 5 petang Rabu.

Selepas perjalanan udara hampir 10 jam, kumpulan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri Beirut di sini sebelum dibawa menaiki bas yang memerlukan dua jam perjalanan darat untuk ke kem berkenaan.

Datuk Seri Johari Baharum bergambar bersama 215 anggota ATM semasa Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-4 ke Lebanon, di Pangkalan TUDM kelamrin. Malbatt 850-4 turut disertai 20 anggota dari ABDB. - Bernama
Datuk Seri Johari Baharum bergambar bersama 215 anggota ATM semasa Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-4 ke Lebanon, di Pangkalan TUDM kelamrin. Malbatt 850-4 turut disertai 20 anggota dari ABDB. – Bernama

Mohd Johari ketika ditemui wartawan Bernama dan RTM berkata misi tradisi ini yang bermula pada 2009, membuktikan pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang berterusan terhadap kredibiliti, kewibawaan dan profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Nazim pula berharap pasukannya yang dilengkapi dan disiapsiagakan dengan latihan untuk menghadapi apa jua keadaan itu dapat melaksanakan tugasan yang diberi dan ditetapkan piagam PBB dalam keadaan penuh berdisiplin.

Malbatt 850-4 dengan keseluruhan 850 pegawai dan anggota termasuk dua pegawai dan 28 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat.

Penghantaran kedua dan ketiga akan dilaksanakan pada 14 Sept dan 20 Sept ini manakala kumpulan terakhir pada 26 September. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA