Mali berkabung 3 hari

Mali berkabung 3 hari

BAMAKO, 23 Nov (AFP) – Mali hari ini mula berkabung di seluruh negara selama tiga hari ini bagi mangsa-mangsa pengepungan oleh pejuang jihad di sebuah hotel mewah yang mengorbankan 19 orang di bandar Bamako, dengan negara jiran, Senegal, Mauritania dan Guinea menyertai sama dalam menunjukkan perpaduan.

Penyiasatan ‘mengikut beberapa asas’ tanpa kepastian tentang bilangan dan kewarganegaraan penjenayah serangan itu, yang mana dua kumpulan pejuang jihad berlainan.

Lelaki-lelaki bersenjata mengamuk di hotel Radisson Blu dari awal pagi Jumaat lalu, melepaskan tembakan di koridor dan menjadikan 170 orang tetamu dan kakitangan hotel sebagai tebusan.

Serangan itu yang berakhir dengan tentera Mali dan antarabangsa menyerbu bangunan itu, telah mengorbankan 19 orang, termasuklah 14 orang warga asing, dan juga dua penyerang, menurut ‘laporan muktamad’ oleh kerajaan.

Seorang pegawai polis Mali sedang meronda di kawasan luar hotel Radisson Blu di Bamako selepas beberapa hari insiden serangan maut. - AFP
Seorang pegawai polis Mali sedang meronda di kawasan luar hotel Radisson Blu di Bamako selepas beberapa hari insiden serangan maut. – AFP

Mangsa-mangsa termasuklah enam warga Rusia, tiga warga China, dua warga Belgium, seorang warga Amerika, seorang warga Israel, seorang warga Senegal dan seorang anggota pasukan khas Mali.

Pasukan pengaman PBB di Mali, MINUSMA, bagaimanapun menyatakan 22 kematian, termasuklah dua penyerang.

Presiden Senegal Macky Sall melawat Bamako semalam untuk menunjukkan perpaduan kebangsaan dan sokongan gabungan serantau Afrika Barat, ECOWAS yang mana beliau adalah pengerusinya.

“Mali tidak akan bersendirian dalam perjuangan, kami semua komited kerana kami semua terlibat,” katanya, dengan mengumumkan jiran Mali, Senegal, Mauritania dan Guinea juga akan berkabung selama tiga hari.