Malindo Air dapat kelulusan terbang ke Perth

Malindo Air dapat kelulusan terbang ke Perth

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) – Malindo Air, sebuah syarikat penerbangan hibrid Malaysia telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam Australia (CASA) untuk terbang dari Kuala Lumpur ke Perth.

Dengan kelulusan ini, Australia menjadi negara kelapan dalam rangkaian destinasi antarabangsa Malindo, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Perkhidmatan 11 kali seminggu itu akan bermula pada 11 November 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Rama Muthy yakin bahawa perkhidmatan tersebut akan membantu merangsang hubungan perdagangan dan perjalanan di antara Australia dan Malaysia.

“Perth akan mengembangkan lagi liputan dan mengukuhkan preposisi pelanggan dalam pasaran yang paling strategik di Asia,” katanya.

Tambang promosi untuk laluan baharu itu akan bermula dari RM599 untuk Kelas Ekonomi dan RM1,499 sehala bagi Kelas Bisnes, termasuk elaun bagasi percuma, hiburan dalam penerbangan, makanan serta minuman.

Jualan tiket akan bermula selepas mendapat kelulusan dari Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA