Malindo Air jalin kerjasama dengan Qatar Airways

Malindo Air jalin kerjasama dengan Qatar Airways

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Malindo Air bekerjasama dengan Qatar Airways untuk menawarkan sambungan penerbangan yang lebih meluas kepada pelanggan bagi perjalanan antara ASEAN dan lebih 100 destinasi dalam rangkaian Qatar Airways.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malindo Air, Chandran Rama Muthy berkata perkongsian itu yang berkuat kuasa 8 Julai, 2016, akan membolehkan penumpang Qatar Airways memanfaatkan rangkaian serantau jarak dekat Malindo Air yang sedang berkembang yang ketika ini menawarkan perkhidmatan penerbangan ke 36 bandar raya di 13 negara termasuk 13 lapangan terbang utama di Malaysia.

“Ini akan memberikan kemudahan bagi pelancong dari seluruh dunia untuk melawat Malaysia dan merasai pengalaman pelbagai budaya kita, meneroka ekopelancongan kita dan menikmati hospitaliti Malaysia yang telah terkenal,” katanya.

Beliau berkata liputan rangkaian meluas Malindo Air di Malaysia juga akan menambahkan pilihan destinasi perjalanan bagi pelanggan dalam segmen perniagaan dan liburan.

Sementara itu, CEO Qatar Airways Group, Akbar Al Baker berkata susulan kerjasama itu, penumpang Malindo Air akan mendapati lebih mudah untuk pergi ke destinasi liburan dan perniagaan baharu dalam rangkaian meluas Qatar Airways di samping menikmati perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

“Banyak destinasi serantau Malindo Air kini mudah untuk dikunjungi penumpang Qatar Airways, menyediakan kemudahan perjalanan bagi penumpang untuk ke dan dari bandar raya yang mana sebelum ini kami tidak menawarkan perkhidmatan penerbangan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA