Malindo Air l...

Malindo Air lancar destinasi KK-Taipei

KOTA KINABALU, 5 Jan – Ketibaan pelancong Taiwan ke Sabah dijangka meningkat dengan pelancaran penerbangan terus empat kali seminggu Malindo Air dari Kota Kinabalu ke Taipei bermula 25 Jan.

Penerbangan dari Kota Kinabalu berlepas pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad sementara penerbangan dari Taipei berlepas pada Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.

Sempena pelancaran itu, Malindo Air menawarkan tambang pengenalan RM299 sehala dari Kota Kinabalu ke Taipei merangkumi semua kelas ekonomi dan RM999 sehala merangkumi semua kelas perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy berkata syarikat itu sedang bekerjasama rapat dengan Lembaga Pelancongan Sabah dan Biro Pelancongan Taiwan untuk mempromosikan laluan baharu ini kepada pelancong di kedua-dua negara.

“Kami menjangka sekurang-kurangnya 25,000 pelancong (dari Taiwan untuk tahun ini) akan datang ke Kota Kinabalu menaiki penerbangan baharu ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun dalam ucapannya berkata ketibaan pelancong Taiwan ke Sabah mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 26 peratus atau 45,367 untuk sepuluh bulan pertama tahun lepas berbanding 36,011 untuk tempoh yang sama pada 2015.

Taiwan kini ialah antara empat sumber pasaran utama bagi Sabah sejak enam tahun lepas bersama China, Korea Selatan dan Brunei, kata beliau.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Kamarlin Ombi. – Bernama