Malindo Air lancar laluan KL-Colombo

Malindo Air lancar laluan KL-Colombo

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) – Malindo Air baru-baru ini telah melancarkan perkhidmatan penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Colombo, Sri Lanka, negara kesembilan syarikat penerbangan hibrid itu dalam pengembangan rangkaian antarabangsanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy berkata Colombo sebagai sebuah destinasi baharu bagi Malindo menandakan satu lagi pencapaian penting bagi syarikat itu dan pelancaran penerbangan sulung ke Colombo kelmarin (Sabtu) menonjolkan satu era baharu bagi perjalanan syarikat penerbangan tersebut yang masih baharu.

“Walaupun memang benar kami terus berkembang, mengangkut lebih ramai orang dengan menggunakan lebih banyak pesawat ke lebih banyak tempat, kamu meneruskan usaha kami untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambang pengenalan bagi laluan baharu itu bermula pada RM339 bagi Kelas ekonomi dan RM579 bagi Kelas Perniagaan sehala semua terangkum, dan termasuk manfaat tambahan seperti peruntukan bagasi percuma, hiburan dalam penerbangan, hidangan makanan dan kudapan.

ARTIKEL YANG SAMA