Malindo Air lancar penerbangan harian ke Hanoi

Malindo Air lancar penerbangan harian ke Hanoi

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Malindo Air meluaskan laluannya di Vietnam selepas Ho Chi Minh City, dengan melancarkan perkhidmatan harian dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Antarabangsa Noi Bai, Hanoi.

Peluasan itu adalah selari dengan pelan rangkaian antarabangsa syarikat penerbangan itu, menjadikan rangkaian laluan ke 40 destinasi di 13 negara.

Penerbangan 0D571 Malindo Air akan berlepas setiap hari dari KLIA pada 9:15 pagi dan tiba di Noi Bai pada 11:25 pagi waktu tempatan. Penerbangan balik berlepas dari Hanoi pada 12:15 tengah hari dan tiba di KLIA pada 4:35 petang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy berkata kemasukan Malindo Air ke Vietnam sudah pasti menyumbang kepada sasaran Malaysia untuk menarik 36 juta pelawat antarbangsa menjelang 2020.

“Pada 2014, terdapat kira-kira 286,000 pelawat Vietnam tiba di Malaysia untuk urusan perniagaan, percutian atau melawat rakan dan saudara-mara. Tahun lepas, jumlah ketibaan mencatatkan kenaikan 6.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA