Malindo Air mulakan penerbangan pertama ke Perth

Malindo Air mulakan penerbangan pertama ke Perth

pg18_151120_b

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) – Malindo Air hari ini memulakan penerbangan sulungnya ke Perth yang membuka peluang yang lebih luas dalam sektor pelancongan antara Malaysia dan Perth, ibu negeri Australia yang beriklim panas, selain memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan.

Penerbangan OD151 Boeing 737 yang membawa 180 penumpang, berlepas dari klia2 pada 9.15 pagi, menyediakan kekerapan 11 penerbangan mingguan yang diyakini dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk melancong ke negeri di Australia Barat itu.

Antara penumpang dalam penerbangan sulung itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abd Aziz Kaprawi, Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy dan wakil media.

Penganalisis industri pelancongan berkata, penerbangan pertama itu tidak ragu-ragu lagi adalah langkah tepat berdasarkan hubungan perniagaan yang panjang antara kedua-dua destinasi.

Berdasarkan rundingan TPPA yang berjaya dimuktamadkan baru-baru ini, dengan Malaysia dan Australia antara yang terbabit, sudah semestinya memberi kekuatan kepada Malindo Air untuk meluaskan ke destinasi lain di Australia.