Malindo Air sasar bawa 25,000 pelancong Taiwan ke M’sia

Malindo Air sasar bawa 25,000 pelancong Taiwan ke M’sia

TAIPEI, 11 Sept – Syarikat penerbangan perkhidmatan premium, Malindo Air, menyasar untuk membawa kira-kira 25,000 pelancong Taiwan ke Malaysia menjelang September 2017, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Muthy.

Beliau berkata ketibaan pelancong Taiwan di Malaysia mencecah 450,000 orang tahun lepas, manakala kira-kira 280,000 rakyat Malaysia berkunjung ke Taiwan pada 2015.

“Kita berharap dapat membawa lebih ramai pelancong Taiwan ke Malaysia susulan pelancaran penerbangan harian secara terus antara Kuala Lumpur dan Taipei.

“Ini turut seiring dengan sasaran 30 juta ketibaan pelancong antarabangsa oleh Tourism Malaysia bagi tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran penerbangan harian Taipei-Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan Taoyuan di sini, hari ini.Chandran berkata pihaknya berharap untuk mencapai antara 85 dan 90 peratus faktor muatan penumpang bagi laluan Taipei-Kuala Lumpur menjelang akhir 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy (tiga kanan) dan Presiden Persahabatan Malaysia dan Pusat Dagangan, Datuk Adeline Leong (tengah) memotong reben pada majlis pelancaran Taipei-Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taiwan, kelmarin. – Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy (tiga kanan) dan Presiden Persahabatan Malaysia dan Pusat Dagangan, Datuk Adeline Leong (tengah) memotong reben pada majlis pelancaran Taipei-Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taiwan, kelmarin. – Bernama

Berdasarkan tempahan melalui telefon yang diterima Malindo Air bagi November dan Disember 2016, syarikat telah mencatat faktor muatan penumpang sebanyak 70 peratus, katanya.

“Penerbangan hari ini juga hampir ditempah sepenuhnya sekali gus kita melihat potensi besar dalam pasaran ini, dan kami mungkin akan menambah kekerapan penerbangan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, laluan baharu itu turut menawarkan pilihan transit lain untuk pelancong Taiwan yang ingin ke Singapura, Thailand, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh, Perth (Australia) dan Nepal.

Chandran berkata laluan baharu menghubungkan Kota Kinabalu, Sabah dengan Taiwan dijangka dilancar menjelang akhir 2016 atau awal 2017.

Sementara itu, Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia, Datuk Adeline berkata, hubungan antara rakyat berbeza negara itu dapat dipertingkatkan melalui kesalinghubungan udara yang lebih banyak antara Malaysia dan Taiwan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA