Malmo kejutkan Celtic

Malmo kejutkan Celtic

MALMO, Sweden, 26 Ogos (AFP) – Celtic tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah sementara Malmo pula meraih kemenangan 2-0 pada pusingan kedua playoff di Sweden untuk mara dengan agregat 4-3.

Selepas permulaan goyah, Malmo membuka jaringan pada minit ke-23 apabila Markus Rosenberg yang digantung pada perlawanan pertama, menanduk tendangan sudut melepasi Craig Gordon.

Jaringan kontroversi Nir Bitton dari Celtic dibatalkan menjelang rehat sebelum jaringan sendiri Dedryck Boyata pada minit ke-54 meloloskan Malmo ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat tahun kedua berturut-turut.

Bagi Hoops, ia adalah tahun kedua berturut-turut mereka gagal melepasi halangan ini dan juara Scotland itu terpaksa berpuas hati dengan tempat dalam undian peringkat kumpulan Liga Europa. Pengurus Celtic Ronny Deila tidak puas hati dengan persembahan pasukan.

“Saya fikir prestasi kami amat teruk. Seluruh pasukan kelihatan takut apabila mereka bermain. Tiada siapa mahu bola dan kami kehilangan bola dalam situasi yang berbahaya sepanjang masa,” kata jurulatih dari Norway itu.

Pemain Malmo Markus Rosenberg (kanan) meraikan jaringan bersama rakannya Nikola Djurdjic di Malmo New Stadium, semalam. – AFP
Pemain Malmo Markus Rosenberg (kanan) meraikan jaringan bersama rakannya Nikola Djurdjic di Malmo New Stadium, semalam. – AFP

Celtic telah membuat dua perubahan kepada skuad perlawanan pertama dengan Saidy Janko menggantikan Mikael Lustig yang cedera sementara Charlie Mulgrew pula menggantikan Emilio Izaguirre.

Hasil perlawanan sudah dapat dihidu apabila Leigh Griffiths gagal menyudahkan hantaran silang Janko sebelum rembatan Jo Inge Berget yang menyumbat dua gol pada perlawanan pertama tersasar.

Griffiths, yang meraih dua gol di Celtic Park, merembat bola tinggi melepasi pertahanan Malmo tetapi penyerang berjaya melencongkan bola sehingga menggegar jaring dari luar tiang gol.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri, membuka jaringan menerusi Rosenberg.

ARTIKEL YANG SAMA