Mamee lengkapi fenomena ‘Hallyu’ rakyat Malaysia

Oleh Erda Khursyiah Basir

 

SEOUL – Gelombang Korea atau Hallyu di Malaysia yang menjurus  kepada drama, muzik K-pop dan filem dari Korea Selatan akan menyaksikan satu lagi elemen baru, makanan asli Korea dengan status halal.

Mamee-Double Decker Sdn. Bhd. (Mamee) selaku pengeluar mi segera terkemuka Malaysia telah menjalin usahasama (JV) dengan Shinsegae Food Inc. (Shinsegae Food), syarikat pengilang utama makanan segera Korea termasuk sos dan perencah sup, pada 27 November 2017 yang lalu.

Meskipun ia bukan kolaborasi baharu antara kedua-dua pihak berdasarkan gandingan yang telah wujud sejak sedekad lepas, namun ia memberi makna besar kepada Mamee. Ini kerana ia akan membawa ‘tiket’ halal dan jenama Malaysia khususnya ke Korea Selatan, Asia Tenggara dan seterusnya seluruh dunia.

Asli dan halal

“Manfaat daripada usahasama ini bukan sekadar untuk Mamee sahaja, bahkan rakyat Malaysia, kerana mereka berpeluang menikmati masakan dan sos asli Korea yang halal. Di restoran mahupun hotel sukar untuk kita mencari masakan Korea yang halal. Di pusat membeli belah pula sukar untuk mencari ramuan masakan Korea, terutama sos asas dalam masakannya.”

“Kami memanfaatkan kelebihan masing-masing dengan kepakaran Mamee dalam pembuatan mi dan kepakaran Shinsegae Food dalam pembuatan sos. Gabungan kepakaran kedua-duanya mampu menghasilkan produk yang berkualiti, asli dan dijamin halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shinsegae Mamee Sdn. Bhd, Vuitton Pang Hee Cheah.

Pengarah Strategi Korporat dan Kewangan Mamee-Double Decker Sdn Bhd yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Shinsegae Mamee Sdn. Bhd (dua kanan) bersama ‘orang kuat’ Shinsegae Mamee Sdn Bhd selepas sidang akhbar mengenai penglibatan Malaysia dalam acara Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018. – Bernama
Pengurus Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan Mamee-Double Decker Sdn Bhd (dua kanan) dan Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (dua kiri) sewaktu menerangkan mengenai ketiadaan logo halal pada produk Mamee yang dijual di Pasaraya E-Mart milik Shinsegae Food Inc. – Bernama

Beliau berkata demikian kepada media selepas sidang akhbar mengenai penglibatan Malaysia dalam acara Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018, di mana Cef Eksekutif Shinsegae Mamee Faizul Hazly Ghazali dilantik mengetuai operasi dapur halal sempena acara berprestij itu.

Melihat usahasama itu sebagai platform untuk menjadikan Mamee sebagai pembekal utama masakan halal Korea di rantau ini termasuklah untuk syarikat penerbangan tempatan, Pang yang juga Pengarah Strategi Korporat dan Kewangan Mamee berkata syarikat itu berhasrat melebar luas sayapnya ke pasaran global.

“Pasaran makanan halal global dijangka mencecah USD2.55 trilion (RM8 trilion) menjelang 2024. Sebagai pengeluar makanan halal terkemuka di Malaysia, kami juga berhasrat menjadi pengilang makanan halal terkemuka dunia.”

“Syarikat-syarikat penerbangan Malaysia sebagai contoh mungkin tak dapat menghidangkan makanan Korea seperti  Bulgogi atau Bibimbap dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Seoul sebab susah nak cari sos Korea yang asli dan halal.”

“Namun jika kami boleh membekalnya penumpang boleh menikmati makanan Korea tanpa ragu-ragu akan status halalnya,” jelasnya.

Sejak Mamee ditubuhkan pada 1971, syarikat itu hanya menjual terus kepada pengguna namun dengan adanya usahasama itu ia diharap akan membuka ‘pintu’ lebih luas untuk pasaran ‘Business to Business’ (B To B) seperti hotel, restoran dan rangkaian perniagaan lain.

Dapur halal Mamee

Menyentuh mengenai pelantikan Cef Faizul Hazly, Pang berkata ‘misi penyelidikan’ secara tidak langsung ke negara itu yang bermula 26 Januari 2018 dapat membantu Mamee membangunkan formula makanan asli Korea yang baharu untuk menembusi pasaran halal di rantau ini.

Selain bertindak sebagai pembekal makanan rasmi Olimpik Musim Sejuk 2018 yang akan berlangsung dari 9 hingga 25 Februari, Shinsegae Food turut menggandingkan cef syarikatnya Choi Jeoongyong bersama Cef Faizul Hazly untuk menghasilkan sebanyak 20,000 hidangan sehari untuk 5,000 atlet, jurulatih dan pekerja acara olahraga.

“Kita ada wakil Mamee yang juga wakil Malaysia untuk kali pertama di Winter Olimpik. Kita mahu beliau ambil kesempatan dan mempelajari cara masakan Korea yang asli supaya kita juga boleh bangunkan masakan yang sama untuk pengguna Islam di Malaysia.”

“Kita mahu beliau belajar sebanyak mungkin dan nanti boleh mendidik dan berkongsi pengalaman dan ilmu dengan pemilik restoran tempatan tentang penyediaan masakan Korea yang asli dan halal.”

“Mamee sememangnya mementingkan status halal sejak penubuhannya, setiap produk yang dihasilkan akan dipastikan mendapat pengesahan halal daripada JAKIM,” katanya.

Cef Eksekutif Shinsegae Mamee Faizul Hazly Ghazali (kiri) yang dilantik mengetuai Operasi Dapur Halal sempena Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018 melakukan demonstrasi masakan bersama Duta Besar Mamee Cef Datuk Cef Ismail Ahmad (dua kiri) selepas sidang akhbar mengenai penglibatan Malaysia dalam acara Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018 pada 24 Januari lepas. – Bernama

Hubungan saling menguntungkan

Berkongsi pandangan, Trading Team Leader Shinsegae Mamee, Tae-Woo Kim berkata pematuhan piawaian halal Mamee yang diiktiraf JAKIM, selaku badan pensijilan halal yang diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa, turut menjadi menyumbang kepada usahasama itu.

Hubungan ‘saling menguntungkan’ antara kedua-dua pihak itu juga dijangka dapat memenuhi permintaan masyarakat Islam yang melawat dan menetap di negara itu untuk mendapatkan makanan asli Korea yang halal.

“Kami mahu menumpukan pada konsep Muslim Korea. Sukar untuk mencari mi halal di Korea dan jika ada sijil, ia lazimnya dikeluarkan oleh Persekutuan Muslim Korea atau persijilan yang dikeluarkan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI). Ia sebenarnya penting untuk mempunyai makanan halal supaya kita boleh menampung citarasa pengguna Islam.”

“Hubungan baik telahpun wujud sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan kami percaya kuasa jenama Mamee serta persijilan halal mereka daripada JAKIM. Lagipun, pasaran terus berkembang dan ia boleh muncul sebagai antara perniagaan besar kami,” katanya yang juga merupakan Ketua Pasukan Perancangan Perniagaan Shinsegae Food.

Jualan tertinggi di Korea

Dalam pada itu, tidak ketinggalan berkongsi mengenai produk Mamee yang dipasarkan di bawah anak syarikat milik Shinsegae Food iaitu pasaraya E-Mart di negara itu, Pang berkata produk Mister Potato dan snek Mamee yang dilabel di bawah jenama No Brand sehingga kini mendapat sambutan memberangsangkan.

Malahan produk Mister Potato perisa asli (original) berjaya mencapai jualan tertinggi sekaligus berada di tempat pertama di bawah label No Brand negara itu. “Sehingga kini sudah dua tahun produk ini di tangga pertama jualan paling tinggi untuk produk No Brand. Kita sediakan semuanya, Shinsegae Food hanya bagi ‘design’ dan nama untuk kita cetak dan hantar kepada mereka dalam keadaan sudah siap semua.”

“Setiap tahun kami hantar kira-kira 300 kontena untuk kedua-dua produk berkenaan,” katanya. Produk hasil usahasama antara Mamee dan Shinsegae Food, iaitu mi Ramen, dijangka memasuki pasaran bermula Mac dan akan dilancarkan secara rasmi pada April nanti.

Mi Ramen dengan dua perisa itu, iaitu kimchi dan ayam pedas, akan dikeluarkan atas label ‘Daebak’ (kejayaan besar dalam bahasa Korea).

Ia akan dipasarkan oleh Shinsegae Mamee Sdn Bhd, merujuk kepada gabungan nama kedua-dua pihak. Usahasama berterusan itu juga bakal menyaksikan produk sos asli masakan Korea memasuki pasaran selepas itu. – Bernama