Mampu jadi peneraju pasaran penerbangan global

Mampu jadi peneraju pasaran penerbangan global

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) – Malaysia dijangka menguasai bahagian pasaran lebih besar dalam segmen penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan global serta pembuatan komponen berkaitan selain mampu menandingi saingan terdekatnya di Asia Pasifik.

Malah, potensi Malaysia untuk bergelar peneraju utama segmen itu turut berteraskan reputasinya sebagai penggiat MRO serantau yang dilengkapi kemudahan bertaraf dunia.

Antara bukti kemampuannya sebagai pusat MRO utama adalah menerusi kehadiran syarikat-syarikat seperti Malaysia Airlines Bhd (MAB), Airod Sdn Bhd, Asia Aero Technics Sdn Bhd serta Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd yang menyediakan kerja-kerja penyenggaran bagi pelbagai jenis pesawat.

Dari segi pembuatan komponen pesawat misalnya, negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah, Jepun dan Korea Selatan sudah sekian lamanya menjadi pembekal komponen utama untuk pesawat Airbus serta Boeing.

Namun, Malaysia sebaliknya tidak terkecuali apabila turut mengembangkan keupayaan pembuatannya dengan beberapa syarikat tempatan membabitkan usaha pengeluaran bahagian-bahagian utama pesawat.

Pendirian optimis itu turut disuarakan Presiden ATR Eastern Support Pte Ltd, Luigi Celmi yang menyifatkan kepakaran serta kemudahan Malaysia dalam penyediaan kerja-kerja lanjutan MRO, mampu mengukuhkan lagi kedudukan serta kemampuannya sebagai pengeluar utama bahagian komponen pesawat.

“Malaysia memiliki ekosistem untuk memacu pertumbuhan itu bersandarkan kemahiran, modal insan, dasar-dasar mesra perniagaan, kemampuan rakyatnya yang fasih berbahasa Inggeris serta insentif cukai,” katanya kepada Bernama.

Celmi berkata, ini diperkukuhkan lagi oleh faktor pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dapat memacu aktiviti perniagaan selain melonjakkan kedudukannya sebagai hab penerbangan.

Ini, katanya, akan membolehkan Malaysia setanding dan mampu bersaing dengan pusat-pusat terkemuka di Singapura, Hong Kong dan AS yang berjaya menarik kehadiran pesawat dalam jumlah yang besar.

Menurut Celmi, biarpun Malaysia memiliki populasi serta bahagian pasaran yang kecil, namun ia mampu menarik pesawat dari Asia bagi kerja-kerja MRO selain berkembang serta mengorak langkah untuk muncul sebagai pusat penting bagi pesawat jarak dekat berkuasa “turboprop” dan ATR yang kian mendapat tempat berikutan kelebihannya dari segi reka bentuk dan cekap tenaga.

“Malaysia kini muncul sebagai pusat utama bagi kerja-kerja penyenggaraan pesawat ATR di Asia.

“Ini berkait rapat dengan aktiviti MRO yang dibangunkan secara kukuh menerusi pengembangan pesawat ATR di negara ini serta rantau ASEAN,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA