Mampukah gol Faiz menangi Puskas?

Mampukah gol Faiz menangi Puskas?

pg21_160322_cKUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) – Pemain skuad Pulau Pinang Mohd Faiz Subri (gambar) menjadi pemain pertama dari Malaysia untuk dicalonkan bagi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 yang merupakan anugerah bagi menghargai pemain bola sepak yang menjaringkan gol tercantik secara tahunan.

Malaysia menjadi tumpuan dunia apabila pemain skuad Harimau Kumbang itu berjaya menjaringkan gol ‘luar biasa’ menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter yang melencong masuk ke gawang pasukan Pahang pada perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang 16 Feb lepas.

Video jaringan itu menjadi viral dalam kalangan netizen yang menyifatkan ia seakan-akan gol jaringan pemain bek kiri Brazil, Roberto Carlos ketika menentang Perancis dalam Kejohanan Persahabatan Antarabangsa, Tournoi de France di Perancis pada 1997.

Pada 22 Feb lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar surat kepada FIFA bagi mencadangkan gol jaringan Mohd Faiz dicalonkan untuk Anugerah Puskas 2016.

Terbaharu dilaporkan, FAM telah menerima surat maklum balas daripada FIFA berhubung pencalonan gol pemain itu untuk anugerah tersebut.

Namun, Mohd Faiz dan juga peminat-peminat bola sepak perlu menunggu sehingga awal tahun depan untuk mendapat keputusan undian yang akan diadakan secara dalam talian di laman web rasmi FIFA, www.fifa.com.

Sebanyak 10 video ‘gol tercantik’ sepanjang tahun akan disenaraikan oleh FIFA, sebelum orang ramai mengundi gol pilihan mereka untuk menentukan pemenang, yang akan diumumkan pada pentas yang sama bersama-sama anugerah Ballon d’Or FIFA dan ‘World Player of the Year’ setiap tahun.

Anugerah ini mencakupi kriteria-kriteria seperti kepentingan perlawanan, matlamat gol, gol yang tidak terhasil daripada nasib atau kesilapan oleh pasukan lain dan juga disiplin serta etika pemain sepanjang perlawanan itu.

Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa anugerah ini dinamakan untuk memperingati seorang daripada lagenda bola sepak dunia, Ferenc Puskas yang bermain pada era 1950-an hingga 1960-an.

Puskas merupakan bekas pemain Hungary yang pernah mencipta rekod dunia selepas menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan antarabangsa, selain membantu pasukan kebangsaannya muncul naib juara Piala Dunia 1954 di Switzerland dan juara Sukan Olimpik 1952 di Helsinki, Finland.

ARTIKEL YANG SAMA