Man City cuba elak kecederaan

Man City cuba elak kecederaan

LONDON, 21 Okt – Manchester City akan cuba mengelakkan lebih ramai pemainnya mendapat kecederaan tetapi dalam masa sama berusaha untuk mendapatkan tiga mata apabila bertemu Sevilla di Stadium Etihad dalam kempen Liga Juara-juara awal pagi esok.

Empat hari kemudian pendahulu Liga Perdana Inggeris itu akan menentang pasukan setempat Manchester United, yang kini meng­huni anak tangga ketiga liga. Skuad Manuel Pellegrini sudah pun kehilangan penyerang utama Sergio Aguero yang telah menjaringkan enam gol dalam dua perlawanan, lima daripadanya dalam tempoh 20 minit ketika menentang Newcastle United, sebelum mengalami masalah hamstring ketika bermain untuk Argentina.

Pemain perancang David Silva turut cedera sewaktu bermain untuk Sepanyol dan tidak akan bermain menentang Sevilla. Ketua pasukan Vincent Kompany tidak cukup cergas ketika mereka menang 5-1 ke atas Bournemouth pada Sabtu lalu manakala pemain tengah Samir Nasri me­ngalami kecederaan hamstring sewaktu perlawanan itu.

“Saya berharap dapat menyenaraikan Aguero dan Silva,” kata Pellegrini kepada wartawan sebelum menambah dia ‘sangat gembira’ dengan prestasi penyerang Raheem Sterling, yang mencipta jaringan hattrick, Wilfried Bony dan pemain termahalnya Kevin De Bruyne.

Kedua-dua pasukan mengumpul tiga mata daripada dua perlawanan dalam Kumpulan D selepas kalah kepada Juventus dan menewaskan Borussia Moenchengladbach. – Reuters

Manuel Pellegrini
Manuel Pellegrini