Man City jinakkan Bournemouth 4-0

Man City jinakkan Bournemouth 4-0

LONDON, 18 Sept – Kevin De Bruyne, Raheem Sterling dan Kelechi Iheanacho menyerlah apabila Manchester City memusnahkan Bournemouth 4-0 awal semalam bagi mengukuhkan kedudukan mereka di persada Liga Perdana.

Pemain baru Ilkay Gundogan yang memulakan kempen liganya juga menemui sasaran di belakang gawang bagi City, yang telah membuat kempen permulaan sempurna mereka dengan kemenangan lapan perlawanan dalam semua pertandingan.

Everton pula memanjat ke tangga kedua selepas menewaskan Middlesbrough, sementara Islam Slimani menjaringkan dua kali dalam penampilan pertama liganya bersama juara bertahan Leicester City yang menewaskan Burnley 3-0 dan Arsenal menang 4-1 ke atas Hull City.

“Penekanan kami tidak begitu sempurna hari ini. Kami mempunyai masalah dalam mengawal asakan Bournemouth, namun kami mencipta banyak serangan balas,” ujar pengurus City Guardiola, yang kehilangan Nolito dalam perlawanan itu apabila menerima kad merah pada saat-saat akhir.

“Kami begitu bernasib baik kerana mempunyai Kevin De Bruyne. Dia menunjukkan prestasi yang begitu menakjubkan.”

Pasukan Manchester City meraikan kemenangan mereka dalam perlawanan tersebut. – AP
Pasukan Manchester City meraikan kemenangan mereka dalam perlawanan tersebut. – AP

Guardiola melakukan empat perubahan kepada pasukan yang telah membenam Borrusia Moenchengladbach pada saingan Liga Juara-Juara Rabu lepas, dengan Bacary Sagna, Gael Clichy, Iheanacho dan Nolito dimainkan.

Jack Wilshire, yang dalam pinjaman dari Arsenal, membuat penampilan pertamanya di Bournemouth, namun aksinya pada perlawanan itu tidak begitu baik.

Dia memberikan sepakan percuma kepada City pada minit ke-15, di mana peluang itu tidak disia-siakan City apabila De Bruyne mencari ruang dari bawah benteng menuju ke tepi bawah gawang.

Pemain Belgium itu kemudian terlibat dalam penghasilan jaringan kedua 10 minit kemudian, menggerakkan hantaran Nolito kepada Sterling, yang kemudian memberikan umpanan kepada Iheanacho yang menyudahkan tugasan jaringan.

Sterling menambah gol ketiga pada separuh masa kedua, dan Iheanacho kemudian menjaringkan gol keempat bagi melengkapkan jaringan City. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA