Man City menang besar

Man City menang besar

LONDON, 4 Okt (AFP) – Sergio Aguero meledak lima gol dalam tempoh 20 minit untuk membantu Manchester City berpesta gol membelasah Newcastle United, 6-1, di Etihad sebentar tadi, untuk sekali gus merampas takhta pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Terdahulu, Crystal Palace melonjak ke tangga ketiga, tiga mata di belakang skuad Manuel Pellegrini menerusi kemenangan meyakinkan, 2-0, ke atas West Bromwich Albion di laman sendiri.

City yang tewas dalam dua perlawanan liga sebelum ini, ketinggalan pada minit ke-18 hasil sentuhan Aleksandar Mitrovic, namun kelebihan itu dipadamkan Aguero pada minit ke-42, selepas meledak empat kali selepas itu.

Kevin De Bruyne turut meledak malam tadi, selain mencipta dua peluang untuk Aguero menjaringkan gol tatkala skuad The Citizens dua mata mendahului Manchester United yang berkunjung ke Arsenal malam esok.

Aguero, 27, menjadi pemain kelima menjaringkan lima gol dalam saingan liga utama Liga Inggeris sejak pelancaran EPL pada tahun 1992, selepas Andrew Cole, Alan Shearer, Jermain Defoe dan Dimitar Berbatov.

Reaksi Sergio Aguero selepas menjaringkan gol. – AFP
Reaksi Sergio Aguero selepas menjaringkan gol. – AFP

Sementara itu, di Selhurst Park, Yohan Cabaye melorongkan bola kepada Yannick Bolasie pada minit ke-68 untuk jaringan pendahuluan Palace, sebelum dia mengambil giliran menjaringkan gol kedua menerusi penalti pada minit akhir saingan.

Leicester City kembali dalam kelompok empat pasukan teratas EPL selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Norwich City di gelanggang lawannya itu menerusi Jamie Vardy, sebelum Jeff Schlupp mengukuhkan kedudukan untuk jaringan kedua.

Dieumerci Mbokani cuba merapatkan kedudukan pada awal babak kedua, namun keputusan itu kekal hingga wisel penamat.

West Ham United pula tercicir ke tempat kelima liga, selepas mencatat keputusan 2-2 ke atas Sunderland, tatkala pengurus pasukan lawannya itu, Dick Advocaat dilaporkan akan meninggalkan kelab berkenaan.

Bournemouth pula terpaksa berkongsi mata dengan Watford selepas seri 1-1 menerusi jaringan Glenn Murray manakala lawannya itu melalui Odion Ighalo.

Sementara itu, jaringan tunggal Marko Arnautovic memastikan Stoke City mengutip mata penuh dengan keputusan 1-0.

ARTIKEL YANG SAMA