Man City sasar 3 mata penuh

Man City sasar 3 mata penuh

MANCHESTER, 7 Dis – Manchester City mahu tiga mata menjadi milik mereka apabila melayan kunjungan Borussia Moenchengladbach dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini dengan mengerti hanya kemenangan mungkin membantu mereka untuk muncul juara Kumpulan D.

City terlepas kedudukan tangga teratas Liga Perdana Inggeris susulan kekalahan 0-2 di tangan Stoke City, kelmarin dan kini perlu mengatasi Gladbach yang masih segar dengan kejayaan menjadi pasukan pertama menewaskan Bayern Munich dalam saingan Bundesliga, musim ini.

City perlu menang sambil mengharapkan pendahulu kumpulan, Juventus tewas kepada Sevilla jika mahu bergelar juara kumpulan.

Namun, dengan tempat ke pusingan kalah mati sudah pun terjamin, pengurus City, Manuel Pellegrini enggan meletakkan sebarang tekanan kepada anak buahnya.

“Ramai orang kecewa kerana kami tidak menjadi pasukan tangga teratas kumpulan tetapi ia masih belum berakhir. Kami akan bermain satu lagi perlawanan dan Juventus pula perlu menentang Sevilla.

Manuel Pellegrini ketika dalam satu sidang media menjelang perlawanan menentang Borussia Moenchengladbach. - Reuters
Manuel Pellegrini ketika dalam satu sidang media menjelang perlawanan menentang Borussia Moenchengladbach. – Reuters

“Sevilla berjuang untuk mendapat slot Liga Europa dan kami bermain di sini menentang Borussia. Jika kamu tanya saya, saya lebih suka jika kami layak.

“Kami menganggap jika kami menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua, kami akan mendapat undian yang sukar, tetapi mungkin tahun ini kami akan mendapat undian yang sukar jika kami berjaya muncul juara kumpulan.

“Masih ada banyak perkara yang akan berlaku pada masa akan datang dan kami tidak mahu hanya memikirkan mengenainya,” kata Pellegrini.

Kapten yang juga pertahanan tengah, Vincent Kompany, pemain tengah, Yaya Toure dan penyerang, Sergio Aguero semua dijangka terlepas aksi bertemu Gladbach di Stadium Etihad, manakala Pablo Zabaleta dan Samir Nasri masih tidak boleh beraksi. – AFP