Man City sedia cabar semua trofi

BRIGHTON, 11 Ogos – Dikuatkan dengan rombakan 200 juta pound, pengurus Manchester City, Pep Guardiola berada di bawah tekanan bagi memastikan musim keduanya dalam Liga Perdana lebih berjaya berbanding musim pertamanya yang teruk.

Guardiola mengalami kempen pertama yang teruk di Eastlands apabila warga Sepanyol itu gagal menjulang sebarang trofi buat pertama kali dalam kerjaya pengurusannya.

City, di tangga ketiga dengan 15 mata di belakang juara Liga Perdana Chelsea musim lepas, tersingkir dari Liga Juara-Juara kepada Monaco dan gagal mara ke final dalam mana-mana piala domestik.

Guardiola mengakui bahawa persembahan begitu pasti menyaksikannya sudah dipecat di dua bekas kelabnya, Barcelona dan Bayern Munich.

Namun, City, yang memulakan kempen Liga Perdana di Brighton tengah malam esok, memberikan lebih banyak masa kepada Guardiola untuk bangkit dan perbelanjaan pra musim telah meletakkannya di posisi yang tepat kali ini.

Gambar fail pada 26 Julai 2017 menunjukkan pengurus Man City, Pep Guardiola (tengah) menyaksikan para pemainnya menjalani sesi latihan pra-musim di California. Guardiola telah berbelanja sakan menguatkan skuadnya untuk bersaing dalam semua trofi. – AFP
Gambar fail pada 26 Julai 2017 menunjukkan pengurus Man City, Pep Guardiola (tengah) menyaksikan para pemainnya menjalani sesi latihan pra-musim di California. Guardiola telah berbelanja sakan menguatkan skuadnya untuk bersaing dalam semua trofi. – AFP

Perkembangan itu melibatkan perbelanjaan besar ke atas lima pembelian utama.

Hampir 130 juta pound dibelanjakan ke atas pemain pertahanan ketika Guardiola merombak barisan pertahanannya dengan memasukkan Kyle Walker, Benjamin Mendy dan Danilo.

Kesemua mereka mempunyai kepantasan untuk mengubah pertahanan menjadi serangan dengan pantas, kekurangan yang ada pada City musim lepas.

Guardiola juga berharap penjaga gol Ederson, dibeli dari Benfica dengan nilai 34.9 juta pound, kurang melakukan kesilapan berbanding Claudio Bravo, salah satu sebab utama kegagalan City bersaing untuk gelaran.

City juga kelihatan kuat di bahagian serangan, dengan Bernardo Silva, dibeli dari Monaco dengan harga 43 juta pound, memberikan kreativiti tambahan di bahagian serangan.

Dengan Gabriel Jesus sudah terlepas dari masalah kecederaan, yang membantutkan permulaan cemerlangnya di England, City kelihatannya sudah siap untuk mencabar kesemua trofi utama. – AFP