Man City terajui EPL, seri dengan Man U

Man City terajui EPL, seri dengan Man U

MANCHESTER, 26 Okt (Agensi) – Manchester City kembali menghuni kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat keputusan seri 0-0 menentang musuh tetangga, Manchester United di Old Trafford, semalam.

Keputusan seri menyaksikan Man City memiliki 22 mata, sama seperti Arsenal namun dibezakan dengan jumlah jaringan.

Man United dalam pada itu kekal di kedudukan keempat, ketinggalan dua mata di belakang Man City dan Arsenal manakala skuad paling mengejutkan, West Ham yang menewaskan Chelsea, semalam ketiga.

Sekalipun lebih menguasai permainan, tiada percubaan benar-benar berbahaya berjaya ditampilkan Man United yang hampir memecah kebuntuan di penghujung permainan menerusi pemain gantian, Jesse Lingard apabila cubaannya menggegar palang Man City.

Man City yang menang enam daripada lapan pertembungan tetangga sebelum ini juga turut buntu menyaksikan pertahanan kedua-dua pasukan beraksi cemerlang.

Pemain midfield Man United, Jesse Lingard (kiri) disaingi pemain pertahanan Man City, Aleksandar Kolarov pada perlawanan EPL di Old Trafford di Manchester, England, pada 25 Oktober 2015. – AFP
Pemain midfield Man United, Jesse Lingard (kiri) disaingi pemain pertahanan Man City, Aleksandar Kolarov pada perlawanan EPL di Old Trafford di Manchester, England, pada 25 Oktober 2015. – AFP

Untuk rekod, pertembungan di Old Trafford adalah yang ke-170 buat kedua-dua pasukan berjiran ini.

Dalam pada itu, Tottenham Hotspurs merakam kemenangan besar 5-1 ke atas Bournemouth dibantu dengan hatrik penyerang, Harry Kane.

Begitupun, Bournemouth yang buat pertama kali beraksi di EPL mengejutkan pelawat apabila menjaringkan gol pendahuluan seawal minit pertama permainan menerusi Matt Ritchie.

Spurs tidak cepat melatah dan menyamakan kedudukan menerusi Kane yang menyempurnakan penalti pada minit kelapan.

Mousa Dembele dan Erik Lamela meletakkan Spurs selesa 3-1 di depan berakhir babak pertama sebelum Kane melengkapkan hatriknya bermula dengan jaringan pada minit ke-56 dan 63 perlawanan.

ARTIKEL YANG SAMA