Man City tewaskan Stoke 4-0

Man City tewaskan Stoke 4-0

MANCHESTER, 24 April – Manchester City berjaya menewaskan Stoke City 4-0 di Stadium Etihad, malam tadi, sekali gus memintas kedudukan Arsenal di tangga ketiga carta Liga Perdana Inggeris meskipun Arsenal masih berbaki satu perlawanan menentang Sunderland malam ini.

Penyerang berusia 19 tahun dari Nigeria, Kelechi Iheanacho menjaringkan dua gol pada minit ke-64 dan 74, dan dia turut dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-43 dengan Sergio Aguero berjaya menyempurnakan sepakan untuk gol ke-16 tahun ini.

Fernando membuka tirai jaringan buat City hasil sepakan penjuru Jesus Navas pada minit ke-35.

Pengurus City, Manuel Pellegrini memuji prestasi cemerlang ditunjukkan Iheanacho yang berharap kekal dalam kesebelasan utama bagi menghadapi aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Etihad, awal pagi Rabu ini.

“Dia adalah pemain muda yang penting untuk pasukan ini, dia mempunyai masa depan cukup cerah. Dia menjaringkan banyak gol tetapi dia bukan sekadar pemain kotak penalti. Saya pasti peranannya dalam pasukan ini sangat penting,” kata Pellegrini.

Sementara itu, ia adalah kali ketiga Stoke dibolosi empat gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Sergio Aguero meraikan gol keduanya pada perlawanan tersebut. - AP
Sergio Aguero meraikan gol keduanya pada perlawanan tersebut. – AP

“Sekali lagi kami melepaskan gol yang mudah. Kami jauh ketinggalan pada babak pertama, kami kekurangan kepantasan dan kekuatan yang diperlukan bagi bermain dengan pasukan seperti City,” kata pengurus Stoke, Mark Hughes. – Reuters