Man City tund...

Man City tundukkan Bournemouth

BOURNEMOUTH, 14 Feb – Satu jaringan menerusi Raheem Sterling dan satu jaringan sendiri daripada Tyrone Mings telah memberikan Manchester City kemenangan 2-0 ke atas Bournemouth dan melonjakkan mereka dari tangga keenam ke tangga kedua dalam Liga Perdana di Stadium Vitality.

Skuad Pep Guardiola berjaya mengurangkan jurang mata dengan Chelsea kepada lapan mata dan sekali gus mengekalkan harapan kejuaraan mereka.

Dengan tiga kemenangan liga berturut-turut telah menyaksikan musim City hidup kembali menjelangnya persaingan Piala FA dan Liga Juara-Juara semakin dekat.

Sergio Aguero juga berkesempatan memperlihatkan kemampuannya apabila dimasukkan sebagai pemain gantian di awal perlawanan bagi menggantikan Gabriel Jesus kerana cedera.

“Saya harap ia bukan kecederaan jangka masa panjang, kami perlu menunggu sehingga esok,” kata pengurus berusia 46 tahun itu.

Sergio Aguero (dua kanan) meraikan gol kedua pasukannya, sementara para pemain Bournemouth menunjukkan reaksi kecewa dalam aksi Liga Perdana antara Manchester City dan Bournemouth di Stadium Vitality. – AP
Sergio Aguero (dua kanan) meraikan gol kedua pasukannya, sementara para pemain Bournemouth menunjukkan reaksi kecewa dalam aksi Liga Perdana antara Manchester City dan Bournemouth di Stadium Vitality. – AP

Rakan sejawatannya di Bournemouth, Eddie Howe telah menyaksikan prestasi pasukannya merosot sejak bermulanya 2017, di mana mereka belum merasai kemenangan dalam tahun 2017 dan berada hanya enam mata di atas zon penyingkiran.

Para peminat City kecewa selepas menyaksikan Jesus hanya bermain selama 14 minit sebelum digantikan oleh Aguero.

Ia memberikan Aguero peluang untuk mengembalikan prestasinya di tengah-tengah spekulasi bahawa dia mungkin menjadi pemain tambahan sejak ketibaan Jesus.

Gol pertama perlawanan tiba apabila Sane membuat hantaran lintang yang terbias terkena Steve Cook dan bola terarah kepada Sterling yang merembat masuk bola di sudut gawang bagi jaringan kelimanya dalam Liga Perdana ke atas Bournemouth, jaringan terbesarnya ke atas sebuah kelab lawan.

Beberapa minit kemudian, Josh King angka dia telah menjaringkan gol penyamaan tetapi pengadil Neil Swarbrick membatalkan jaringan itu kerana dia telah menarik jersi John Stone ketika berlari mendapatkan bola.

Meskipun City bermain dengan baik selepas rehat, dengan Sane menjadi duri dalam daging pertahanan lawan, Bournemouth juga mampu memberikan ancaman di gawang City.

Akhirnya City berjaya memastikan kemenangan, apabila Fernandinho membuat hantaran kepada Sterling di bahagian kiri, di mana Sterling menggelecek Adam Smith sebelum membuat hantaran rendah yang ditujukan kepada Aguero namun hujung kaki Mings yang menyebabkan bola masuk ke gawangnya sendiri. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA