MAN U Benam Stoke City 3-0

MAN U Benam Stoke City 3-0

MANCHESTER, 3 Feb – Manchester United berjaya menamatkan kemarau gol selepas menewaskan Stoke City 3-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung awal pagi tadi.

Kemenangan besar United di Old Trafford itu berjaya diraih apabila anak buah Louis Van Gaal, Jesse Lingard bertindak cemerlang dengan menyumbangkan gol pertama pada minit ke-14 dan disusuli dengan jaringan Anthony Martial pada minit ke-23.

Penyerang terkemuka United, Wayne Rooney turut tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kepadanya dengan menjaringkan gol ketiga United selepas beberapa minit babak separuh masa kedua perlawanan dimulakan.

Kemenangan itu sekaligus meletakkan United di bawah Arsenal dengan perbezaan lima mata. Anak buah Van Gaal mengulangi kemenangan terbesar Liga Perdana mereka musim ini menerusi jaringan Jesse Lingard, Anthony Martial dan Wayne Rooney.

Peningkatan persembahan itu tiba tepat pada masanya-24 jam selepas pengurus berprofil tinggi, Pep Guardiola dilantik sebagai pengendali seteru utama United, Manchester City.

Aksi cemerlang daripada pemain Manchester United, Jesse Lingard ketika berdepan dengan pasukan lawan Stoke City, Marko Arnautovic semasa perlawanan tersebut. – Reuters
Aksi cemerlang daripada pemain Manchester United, Jesse Lingard ketika berdepan dengan pasukan lawan Stoke City, Marko Arnautovic semasa perlawanan tersebut. – Reuters

Ketibaan Guardiola yang menggantikan Manuel Pellegrini bukan saja bertujuan untuk menjadikan City kuasa besar di Manchester, tetapi juga di Eropah.

United tampak bakal tercicir di belakang jiran mereka itu apabila bergelut untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan, manakala persoalan terus timbul berkenaan nasib pengendali mereka.

Van Gaal diejek oleh penyokong United selepas perlawanan terakhir di laman sendiri – kekalahan 1-0 di tangan Southampton.

Namun pengendali dari Belanda itu terus berpegang kepada jawatannya dan keputusan terbaru itu yang disokong oleh gaya menyerang memberangsangkan meletakkan mereka hanya lima mata di belakang kelompok empat terbaik.

Ia memberikan van Gaal sedikit ruang untuk bernafas selepas hanya mencatat dua kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir liga dan hanya menjaringkan 11 gol di laman sendiri.

Jumlah keseluruhan 27 gol yang dicatat setakat peringkat ini dalam semusim, adalah yang paling rendah sejak musim 1989-90, di mana United menamatkan saingan di tangga ke-13 dan Mark Hughes muncul penjaring terbanyak dengan 15 gol.

Hughes kembali ke laman keramatnya sebagai pengendali Stoke, tetapi ia bukanlah kepulangan menggembirakan apabila perlawanan ke-100 The Potters di bawah kendaliannya berakhir dengan kekalahan dan terus melebarkan rekod tanpa menang Stoke di Old Trafford sejak 40 tahun lalu. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA