Man United belum temui sasaran

Man United belum temui sasaran

Rotterdam, 16 Sept – Penampilan Jose Mourinho dalam aksi Liga Europa berakhir dengan kekalahan mengejutkan selepas jaringan Tonny Vilhena membantu Feyenoord menewaskan Manchester United 1-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A, awal pagi tadi.

Bagi jurulatih yang berada dalam kelompok teratas dalam hierarki bola sepak, bersaing dalam Liga Europa buat kali pertama dalam tempoh 13 tahun adalah bukan satu prospek yang mudah buat Mourinho.

Malah, pemainnya juga dilihat seolah-olah tidak bersemangat dengan perubahan besar dalam barisan pemain ketika tewas dengan jaringan lewat Vilhena di De Kuip.

Ia kekalahan kedua berturut-turut United selepas tunduk kepada musuh ketat, Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris dan Mourinho berharap keputusannya membuat lapan pertukaran berdepan Feyenoord diberi ganjaran dengan kemenangan apabila mereka kembali ke kancah domestik di Watford, Ahad ini.

“Beberapa pemain bermain buat kali pertama musim ini. Jelas beberapa daripada mereka bermain lebih baik daripada yang lain,” kata Mourinho. “Secara peribadi saya tidak tahu untuk menerangkannya. Saya tidak boleh menilai mereka dengan hanya satu perlawanan. “Kami tertekan dan Feyenoord menggunakan peluang itu dengan baik. Dua kali kami tidak bernasib baik kerana ia jelas offside.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA