Man United buru Neymar?

Man United buru Neymar?

LONDON, 23 Ogos (Agensi) – Akhbar Britain, The Sun melaporkan Manchester United telah mengorak langkah berani dengan melancarkan bidaan untuk bintang penyerang Brazil, Neymar.

Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward yang berada di Barcelona pada awal minggu ini untuk berunding mengenai Pedro, dikhabarkan melakukan kejutan apabila cuba mendapatkan Neymar.

Red Devils masih berusaha mengukuhkan jentera serangan, dan sekiranya mereka berjaya membawa Neymar maka ia akan dilihat sebagai langkah yang sangat menakjubkan.

Bagaimanapun, United tidak bersendirian untuk mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu kerana kelab kaya Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) turut berminat untuk membeli bintang Brazil tersebut.

Kegagalan membawa masuk Pedro, yang memilih untuk menyertai pencabar utama United dalam Liga Perdana Inggeris, Chelsea memaksa kelab tersebut mengalihkan tumpuan kepada pemain lain untuk menguatkan serangan.

Neymar (kanan) ketika berlatih bersama kelab pasukannya Barcelona. – AFP
Neymar (kanan) ketika berlatih bersama kelab pasukannya Barcelona. – AFP

Neymar dilihat sebagai pilihan terbaik kerana pemain itu memiliki kepantasan yang diperlukan untuk mengatur serangan dari bahagian tengah, selain mampu menjaringkan gol dari posisi sayap.

United memulakan kempen musim baharu dengan mencatat dua kemenangan berturut-turut, namun pengurus pasukan, Louis van Gaal melihat masih ada kelemahan yang perlu diatasi di bahagian depan.

Walaupun Van Gaal sudah melakukan lima pembelian musim ini, namun mereka mungkin berdepan kesukaran untuk meyakinkan Barcelona supaya melepaskan Neymar.

Neymar memainkan peranan penting ketika membantu kelab Catalan itu merangkul tiga trofi musim lalu iaitu Liga Juara-Juara, La Liga dan Copa del Rey.

ARTIKEL YANG SAMA