Man United gagal menyengat

Man United gagal menyengat

MANCHESTER, 26 Nov (AFP) – Manchester United kendalian Louis van Gaal mensia-siakan peluang untuk mara terlebih awal ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah selepas hanya seri 0-0 dengan PSV Eindhoven di Old Trafford, semalam.

Ketika Old Trafford merakam saat 10 tahun pemergian pemain legendanya, George Best, tuan rumah memerlukan kemenangan ke atas PSV, sebaliknya memilih jalan sukar sehingga terpaksa menunggu perlawanan terakhir Kumpulan B.

Sekurang-kurangnya dua peluang paling terdedah untuk United menjaringkan gol menerusi Jesse Lingard namun bola gagal membolosi gawang lawan selepas menguasai perlawanan pada separuh masa pertama.

PSV nyata memperkemaskan semua sudut permainan apabila masuk masa kedua sehingga United gagal memberikan ancaman berbisa.

Kesukaran ditambah lagi apabila pasukan dalam kumpulan sama, Wolfsburg mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas CSKA Moscow di gelanggang lawan.

Reaksi Van Gaal dan Giggs semasa mengendalikan United menentang PSV di Old Trafford semalam. – Reuters
Reaksi Van Gaal dan Giggs semasa mengendalikan United menentang PSV di Old Trafford semalam. – Reuters

Keputusan itu menyaksikan United perlu menang dalam pertemuan dengan Wolfsburg di Jerman pada 8 Disember ini untuk memastikan tempat dalam kelompok 16 pasukan terakhir.

PSV di bawah bimbingan Phillip Cocu meragut empat mata daripada United, selepas menang 2-1 di Belanda pada September lalu.

Juara Belanda itu berpeluang cerah sekiranya menewaskan CSKA dengan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mara bersama Wolfsburg yang kini menduduki tangga teratas kumpulan dengan satu mata di depan United.

Van Gaal mengakui disiplin pada bahagian pertahanan yang kental tidak kelihatan di bahagian serangan mereka. Jentera serangan yang kurang berkesan meletakkan Manchester United di tangga kedua dalam empat pasukan Kumpulan B sekaligus membahayakan kedudukan mereka untuk muncul juara kumpulan dan layak ke pusingan kalah mati.

Selepas lima perlawanan berlalu, United kini menang dua kali, seri dua kali dan kalah sekali dengan mengutip lapan mata – satu mata di belakang pendahulu kumpulan iaitu Wolfsburg.

Jika Red Devils seri atau kalah dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Wolfsburg dua minggu dari sekarang, mereka akan tersingkir dari kejuaraan ini.

Kebimbangan terbesar ialah perlawanan terakhir United dalam kejuaraan ini akan berlangsung di tempat lawan dan ini bakal memberi tekanan kepada para pemain memandangkan Wolfsburg juga turut berpeluang layak ke pusingan kalah mati jika berjaya menumpaskan United atau sekadar mencapai keputusan seri.

ARTIKEL YANG SAMA