Man United hanya sasar kemenangan

Man United hanya sasar kemenangan

WOLFSBURG, 7 Dis – Louis van Gaal berkata Manchester United hanya perlu menyalahkan diri sendiri menjelang pertembungan menentang Wolfsburg dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini dengan dua kemungkinan menanti mereka – tersingkir awal atau muncul juara kumpulan.

Anak buah Van Gaal wajib menewaskan pendahulu Kumpulan B itu bagi memastikan tempat ke pusingan kalah mati selepas terlepas kedudukan teratas kepada kelab Jerman itu susulan keputusan seri tanpa jaringan dengan PSV Eindhoven, dua minggu lalu.

Wolfsburg akan mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah kelab itu dengan hanya keputusan seri manakala United yang ketinggalan satu mata di belakang sedar kekalahan akan membuatkan mereka tersingkir.

Bagaimanapun, United masih boleh layak biarpun seri atau kalah kepada Wolfsburg tetapi perlu mengharapkan PSV tidak menghasilkan keputusan yang lebih baik berbanding mereka apabila bertemu CSKA Moscow.

“Kami ada perlawanan dalam saingan Liga Juara-Juara bertemu Wolfsburg. Selepas keputusan mengecewakan menentang Eindhoven di Old Trafford, kami tahu apa yang kami perlu lakukan bagi layak ke pusingan kalah mati, iaitu kami perlu menang.

“Kami tidak membuatkan ia menjadi mudah kepada kami tetapi kami tahu kemenangan di Jerman bukan saja menjamin tempat ke pusingan kalah mati tetapi turut memastikan kami bergelar juara kumpulan,” kata Van Gaal.

Jika berjaya menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan B, United boleh mengelak daripada bertemu pasukan seperti Real Madrid, Barcelona dan Bayern Munich di pusingan 16 terbaik.

United tersingkir di peringkat kumpulan empat tahun lalu selepas tewas 1-2 di tangan FC Basel dalam kempen musim 2011/2012.

ARTIKEL YANG SAMA