Man United kekal tanpa kalah

Man United kekal tanpa kalah

LONDON, 23 Ogos (AFP) – Rekod 100 peratus kemenangan Manchester United dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini lebur apabila mencatat keputusan seri 0-0 menentang Newcastle di Old Trafford, bagaimanapun kekal merekodkan tanpa bolos, semalam.

Sekalipun tampil dengan aksi dominasi, Man United yang memperoleh beberapa peluang terbaik gagal menerjah gawang Newcastle yang dikawal cemerlang Tim Krul.

Selain itu, Man United turut dikecewakan apabila gol kapten, Wayne Rooney dibatalkan akibat ofsaid dengan pengendali, Louis van Gaal memberikan Bastian Schweinsteiger penampilan sulungnya di EPL.

Kecewa dengan keputusan babak pertama, Van Gaal melakukan penukaran pemain pada babak kedua namun Krul jelas berada di prestasi terbaik apabila turut menafikan cubaan Javier Hernandez dan Chris Smalling.

Pemain baharu Newcastle, Florian Thauvin hampir meledak gol pada babak pertama namun cubaannya turut tersasar.

Pemain tengah Manchester United Bastian Shweinsteiger (tengah) berebut bola dengan Gabriel Obertan. – Reuters
Pemain tengah Manchester United Bastian Shweinsteiger (tengah) berebut bola dengan Gabriel Obertan. – Reuters

“Kami boleh berpuas hati dengan prestasi namun bukan dengan keputusan. Kami tidak bernasib baik,” kata pengurus Man United, Van Gaal.

“Kami tidak melakukan pilihan yang tepat pada penghujung permainan, namun kami bermain dengan cemerlang sebagai satu pasukan. Saya gemar dengan perlawanan seperti ini apabila kami bekerja seperti ini, namun bukan keputusannya.”

Man United mencatat kemenangan 1-0 pada kedua-dua perlawanan awal liga menentang Tottenham Hotspurs dan Aston Villa.

Ia diteruskan dengan kemenangan 3-1 ke atas Club Brugge pada aksi play-off Liga Juara-Juara Eropah dengan Newcastle terus gagal memburu kemenangan berakhir tiga perlawanan liga.

ARTIKEL YANG SAMA