Man United kembali menang

Man United kembali menang

MANCHESTER, 3 Jan (AFP) – Wayne Rooney mengikis tekanan terhadap Louis van Gaal apabila kapten Manchester United itu merakam gol kemenangan dengan kuisan tumit bagi menewaskan Swansea City 2-1, awal pagi tadi.

Gol pada minit ke-77 Rooney itu adalah gol ke-238 untuk United, sekali gus memintas Denis Law sebagai penjaring kedua terbanyak dalam sejarah United.

Rooney kini juga sebagai penjaring kedua terbanyak dalam era Liga Perdana Inggeris dengan 188 gol di belakang Alan Shearer (260 gol).

Namun lebih signifikan apabila penyerang England itu menghasilkan gol pertama sejak Oktober serta kemenangan pertama United selepas kemarau sembilan perlawanan sekali gus mara ke kedudukan kelima liga.

Ia adalah kemenangan yang amat diperlukan van Gaal selaku pengurus United yang dikecam hebat dan sedang mempertimbangkan untuk berundur selepas sambutan Krismas.

Wayne Rooney meraikan gol kedua buat Manchester United bersama rakan sepasukannya. - Reuters
Wayne Rooney meraikan gol kedua buat Manchester United bersama rakan sepasukannya. – Reuters

Empat kekalahan dan dua seri pada Disember nyata memberi tamparan hebat kepada van Gaal dan United terutama selepas terkeluar daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Jaringan Anthony Martial menerusi tandukan pada minit ke-47 memastikan United di depan namun ia tidak lama apabila Swansea menyamakan kedudukan menerusi Gylfi Sigurdsson yang menanduk masuk pada minit ke-77.

Ketika kedua-dua pasukan sering berbalas serangan, Old Trafford selagi lagi bergegar dengan sorakan penyokong apabila umpanan pemain sayap Ashley Young pantas dikejar Anthony Martial untuk masuk ke kotak penalti sebelum melorongkan bola kepada Rooney.

Rooney tanpa berlengah memintas bola umpanan Martial dan menguis bersahaja dengan tumitnya sebelum bola menggegar jaring Swansea.

ARTIKEL YANG SAMA