Man United kini buru Bale

Man United kini buru Bale

LONDON, 20 Julai – Gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United akan menguji sejauh mana Real Madrid sanggup mempertahankan Gareth Bale apabila bakal mengemukakan tawaran lumayan 95 juta pound untuk membawa masuk bintang antarabangsa Wales itu ke Old Trafford.

Sumber di Old Trafford mengesahkan, Bale masih berada dalam radar mereka ketika jendela perpindahan berbaki 44 hari.

United sudah memulakan rundingan dengan Real sejak beberapa bulan lalu, namun fokus utama mereka ketika itu adalah David de Gea dan Sergio Ramos.

Selepas United berkeras mengatakan de Gea akan kekal di Old Trafford, manakala Real menegaskan Ramos terus kekal di Santiago Bernabeu, rundingan kemudian beralih kepada Bale.

Pengurus United, Louis van Gaal mengakui, Red Devils mungkin melakukan kejutan sebelum jendela perpindahan ditutup.

Bale, 26, yang menyertai Real dengan harga 85 juta pound dari Tottenham pada 2013 kini berdepan detik-detik sukar dalam La Liga.

Manchester United ingin mendapatkan khidmat Bale dengan menawarkan jumlah wang pemindahan tinggi kepada Real Madrid. - AFP
Manchester United ingin mendapatkan khidmat Bale dengan menawarkan jumlah wang pemindahan tinggi kepada Real Madrid. – AFP

Dia sering menjadi mangsa cemuhan penyokong Real setiap kali pasukan itu gagal mencatat keputusan yang diharapkan, selain terpaksa bekerja keras untuk mempelajari bahasa Sepanyol.

Selain Bale, Red Devils juga mengintai peluang untuk mendapatkan khidmat Thomas Muller dan Robert Lewandowski dari Bayern Munich, selain sanggup membayar klausa pelepasan bintang Barcelona, Pedro.

Selepas mendapatkan pemain yang diperlukan untuk menguatkan bahagian pertahanan dan tengah, United perlu mencari pemain penyerang baharu selepas bertindak melepaskan Radamel Falcao dan Robin van Persie.

Menurut akhbar Britain, Daily Express United amat berminat untuk mendapatkan Muller dan Lewandowski.

Yuran perpindahan bagi kedua-dua pemain itu dijangka sekitar 102.4 juta pound dan perpindahan akan menjadi kenyataan sekiranya Bayern mahu melepaskan mereka.

Menurut akhbar Guardian, United sudah bersedia untuk membayar jumlah yang dituntut bagi membawa mereka ke Old Trafford musim panas ini. – Agensi