Man United langkah kanan

MANCHESTER, 13 Sept – Pemain gantian, Marouane Fellaini terbukti menjadi sumber inspirasi yang tidak disangka-sangka ketika Manchester United dengan mudah menewaskan Basel 3-0 dalam aksi kembali mereka ke Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Fellaini, yang dimasukkan bagi menggantikan Paul Pogba, memberikan United pendahuluan pada minit ke-35 di Old Trafford dan kemudian bergandingan dengan Marcus Rashford bagi gol ketiga tuan rumah selepas Romelu Lukaku menjaringkan gol kedua United.

Ia adalah perlawanan Liga Juara-Juara pertama buat United sejak Disember 2015, dengan skuad Jose Mourinho membuat aksi kembali ke kejohanan itu dengan memenangi Liga Europa musim lepas.

“Saya terus katakan perkara yang sama mengenai Fellaini: dia adalah pemain yang mempunyai kualiti yang istimewa dan dia memberikan saya pelbagai pilihan. Dia antara pemain paling penting saya,” kata Mourinho kepada BT Sport.

Meskipun kemenangan selesa itu, Mourinho mengkritik pasukannya kerana tidak meneruskan tekanan hingga wisel akhir.

Penyerang United, Romelu Lukaku (tengah) ketika menanduk masuk gol kedua pasukannya dalam aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara di Old Trafford. – AFP

“Sehingga 2-0 kami stabil,” katanya. “Selepas 2-0 semuanya berubah. Kami berhenti bermain dengan serius dan membuat pilihan yang betul. Kami mungkin menempatkan diri kami dalam masalah. Kami bermain bola sepak fantasi, bola sepak PlayStation. Saya tidak menyukainya.”

Basel sebelum ini sudah membuktikan bahawa mereka mampu menjejaskan United, menyingkirkan mereka dari Liga Juara-Juara 2011-12, dan mereka pernah membuat kejutan ke atas Mourinho dalam perlawanan Eropah ketika dia mengendalikan Chelsea 2013.

Sementara skuad Raphael Wicky diketepikan tanpa kesukaran dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A itu, masalah kecederaan Pogba yang berkemungkinan besar kecederaan hamstring bermakna Mourinho mungkin tidak menikmati malam yang begitu sempurna.

Dengan Ashley Young diturunkan di bek kanan bagi menggantikan Antonio Valencia, Pogba menerima lilitan kapten dari pemain Ecuador itu.

Tetapi penampilan pertama bintang Perancis itu sebagai kapten United hanya bertahan selama 18 minit selepas dia terhentak kaki kirinya dan terpaksa dikeluarkan, dengan digantikan oleh Fellaini. – AFP