Man United menang tipis 1-0

Man United menang tipis 1-0

LONDON, 10 Jan (AFP) – Jaringan penalti masa kecederaan kapten Wayne Rooney menyelamatkan Manchester United daripada dimalukan ketika mereka dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan pasukan divisyen ketiga, Sheffield United 1-0 dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi.

Juara bertahan, Arsenal dan Manchester City tidak menghadapi masalah mara ke pusingan keempat, tetapi United hampir ditakdirkan mengharungi aksi ulangan sebelum Rooney menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93 selepas pemain gantian Memphis Depay dikasari dalam kota penalti di Old Trafford.

Ia hanya percubaan kedua United yang menemui sasaran sepanjang 90 minit permainan, ketika menentang pasukan 47 anak tangga di bawah mereka, tetapi pengurus Louis van Gaal tidak khuatir dengan persembahan biasa yang dipamerkan anak buahnya itu.

Mereka memerlukan 69 minit untuk membuat percubaan pertama yang menemui sasaran apabila Matteo Darmian menyepak terus ke dakapan George Long, dan mereka tidak lagi mengancam gawang yang dikawal penjaga gol itu sebelum tindakan Dean Hammond melakukan terjahan keras ke Depay pada masa tambahan. Dan Rooney tidak membuat kesilapan untuk menyempurnakan sepakan penalti berkenaan.

Wayne Rooney ketika meraikan jaringan penaltinya di saat-saat akhir perlawanan. – Reuters
Wayne Rooney ketika meraikan jaringan penaltinya di saat-saat akhir perlawanan. – Reuters

Dalam satu lagi aksi, Aaron Ramsey dan Olivier Giroud meledak gol ketika Arsenal memulakan perjalanan untuk memburu gelaran ketiga berturut-turut trofi berprestij itu dengan bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sunderland 3-1.

Sunderland mendahului pada minit ke-17 di Stadium Emirates menerusi Jeremain Lens, tetapi Joel Campbell kembali mengikat aksi lapan minit kemudian sebelum jaringan babak kedua oleh Ramsey dan Giroud menghadiahkan barisan kendalian Arsene Wenger kemenangan.

Manchester City mencatatkan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Norwich City hasil sentuhan penyudah Sergio Aguero, Kelechi Iheanacho dan pemain gantian Kevin De Bruyne.

Southampton dan Newcastle United kecundang, tetapi sekurang-kurangnya mereka hanya tewas kepada pesaing daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Jaringan pada minit ke-68 Wilfried Zaha memberikan Crystal Palace kemenangan 2-1 ke atas Southampton, manakala Troy Deeney menghukum kesilapan Georginio Wijnaldum yang menghantar bola ke belakang untuk memastikan Watford menewaskan Newcastle 1-0 di laman sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA