Man United perlukan suntikan lebih

Man United perlukan suntikan lebih

MANCHESTER, 17 April (AFP) – Kejayaan terbaru Manchester United dalam usaha untuk menempah nama ke dalam saingan Liga Juara-juara belum mencukupi untuk mencetuskan keterujaan di Old Trafford.

Bagaimanapun, pengurus United Louis van Gaal masih percaya kemenangan tipis 1-0 skuad bimbingannya ke atas Aston Villa, semalam yang juga pengesahan kelab lawan itu penyingkiran ke divisyen lebih bawah, musim depan sudah cukup untuk memberi mesej kepada Manchester City dan West Ham.

Ketiga-tiga kelab dijangka bersaing sengit sehingga penghujung saingan musim ini bagi tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Sekali pun persembahan ketika menentang Villa tidak mungkin akan menakutkan pencabarnya itu, Van Gaal berkata kemenangan tipis menerusi Marcus Rashford, 18 mendapat perhatian City dan Hammers.

“Ia adalah gol yang menakjubkan,” kata Van Gaal mengenai gol ketujuh Rashford dalam 12 penampilan bersama skuad utama.

Marcus Rashford meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. – AP
Marcus Rashford meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. – AP

“Saya bersetuju kami perlu memberi lebih keseronokan kepada peminat-peminat kami namun apa yang paling penting ialah memenangi perlawanan.

“Kami perlu melihat kepada Manchester City, juga kepada West Ham dan Southampton dan kami sudah menyatakan dengan jelas hari ini yang kami mahu menang.”

“Namun sudah tentu ia bukan persembahan terbaik Manchester United musim ini.”

Berdepan Villa, Van Gaal membuat lima penukaran daripada skuad yang membawa pasukan itu ke separuh akhir Piala FA termasuk menyenaraikan kapten pasukan, Wayne Rooney dalam kesebelasan utama.