Man United sedia kunjungi Moscow

Man United sedia kunjungi Moscow

LIVERPOOL, 19 Okt – Pengurus Manchester United, Louis van Gaal berkata, kejayaan skuad kendaliannya menumpaskan Everton 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin menyuntik semangat pemain dalam meneruskan kempen Liga Juara-Juara apabila bertandang ke CSKA Moscow esok.

Morgan Schneiderlin dan Ander Herrera meletakkan Red Devis mendahului 2-0 pada babak pertama, sebelum bekas pemain Everton, Wayne Rooney meledak gol ketiga, sekali gus menambah derita The Toffees yang baru kehilangan bekas pengurus mereka, Howard Kendall, yang meninggal dunia, Sabtu lalu.

Biarpun United sebelum ini tewas 0-3 kepada Arsenal, namun sekembali daripada cuti antarabangsa skuad kendalian Van Gaal itu menunjukkan peningkatan malah turut menyaksikan Rooney menjaringkan gol keduanya dalam saingan liga musim ini.

“Ia merupakan persembahan yang sangat bagus dan saya memberitahu pemain bahawa saya amat bangga dengan mereka. Kami perlukannya (kemenangan) sebab Everton merupakan pasukan yang bagus.

Louis van Gaal yakin terhadap pasukannya menjelang perlawanan menentang CSKA Moscow. - Reuters
Louis van Gaal yakin terhadap pasukannya menjelang perlawanan menentang CSKA Moscow. – Reuters

“Kami mengawal permainan untuk tempoh 80 minit dan gawang kami berada dalam bahaya hanya selepas pengadil perlawanan memberi sepakan percuma dari jarak 60 meter sebab (Ross) Barkley mampu mengambil sepakan bebas dengan baik.

“Saya melihat banyak pemain (secara individu) bermain dengan baik hari ini begitu juga dengan keputusan yang dicatatkan. Kami semakin yakin dan anda boleh melihatnya pada babak kedua,” kata pengendali dari Belanda itu.

Suasana hening menyelebungi Goodison Park sebelum sepak mula selepas Ken­dall yang merupakan pengurus Everton paling popular serta berjaya meninggal dunia pada usia 69 tahun akibat serangan jantung.

Antara rekod kejayaan yang berjaya dilakar oleh Kendall bersama The Toffees ialah menjuarai divisyen pertama dan pelopor ke EPL pada 1970. – AFP