Man United sedia perangkap The Saints

Man United sedia perangkap The Saints

MANCHESTER, 22 Jan (AFP) – Manchester United mahu memperbaiki rekod di halaman sendiri ketika melayan kunjungan Southampton esok.

Sejak Southampton kembali berada dalam senarai kelompok terbaik sejak 2012, United hanya sekali menewaskan mereka dalam tiga pertemuan di Old Trafford dengan meraih kemenangan 3-1, tiga tahun lalu.

Pada perlawanan ketika itu, Wyane Rooney menjaringkan dua gol United dan pada empat perlawanan terakhir, pemain itu sudah meledak lima gol dengan yang terbaru ketika kelab menewaskan Liverpool 1-0, minggu lalu.

Selepas kemenangan di Anfield, Van Gaal mendakwa pasukannya masih lagi mampu menjuarai liga untuk kali pertamanya sejak 2013.

Namun, mereka perlu meningkatkan lagi tahap prestasi keseluruhan mereka dan sudah pasti sekali lagi berdepan tekanan daripada penyokong yang masih tidak berpuashati dengan pengurusan dan corak percaturan Van Gaal.

Pemain Southampton, Virgil van Dijk menjaringkan gol semasa menentang Arsenal dalam aksi Liga Perdana di Stadium St. Mary pada 26 Disember 2015. – Reuters
Pemain Southampton, Virgil van Dijk menjaringkan gol semasa menentang Arsenal dalam aksi Liga Perdana di Stadium St. Mary pada 26 Disember 2015. – Reuters

Pemain tengah Juan Mata, tercicir daripada senarai kesebelasan utama pada dua perlawanan terakhir, mengakui betapa pasukan perlu menjadi lebih baik tetapi dalam masa sama meletak kepercayaan yang pasukan masih mampu berada di puncak liga.

“Saya harap kemenangan ini (di Liverpool) akan melonjakkan lagi keyakinan dan membantu kami bermain lebih baik dan terus mendapatkan keputusan diinginkan bagi membantu pasukan melonjak naik dalam carta liga,” kata Mata.

“Liga masih panjang dan tidak ada satu pun pasukan yang menunjukkan corak konsisten terbaik, jadi peluang itu masih terbuka. “Buat masa ini, kami perlu kekal fokus dan meneruskan mentaliti sama pada perlawanan akan datang menentang Southampton.

“Mereka mempunyai dua kemenangan meyakinkan dalam dua perlawanan terakhir, jadi kami perlu lebih berhati-hati.”

ARTIKEL YANG SAMA