Man United sedia sambung kontrak Zlatan

Man United sedia sambung kontrak Zlatan

MANCHESTER, 24 Nov – Manchester United bersedia untuk memberikan pilihan menyambung kontrak penyerang sensai Sweden, Zlatan Ibrahimovic bagi tempoh setahun lagi, kata pengurus Jose Mourinho pada sidang media, semalam.

Ibrahimovic, 35, menyertai United daripada Paris Saint-Germain pada Julai lalu berdasarkan kontrak setahun dengan pilihan setahun lagi.

“Situasi Zlatan adalah mudah,” kata Mourinho kepada wartawan di Old Trafford menjelang pertemuan Liga Europa kelab itu menentang Feyenoord, esok.

“Dia mempunyai pilihan satu tambah satu. Kami gembira dengannya. Kami akan menggunakan pilihan yang ada bagi musim kedua. Selepas itu dia boleh melakukan apa yang dia mahu.”

Mourinho sebelum ini menghabiskan satu musim bekerja sama dengan Ibrahimovic di Inter Milan, di mana mereka bergandingan menjulang gelaran Serie A pada 2008-09.

Ibrahimovic yang memenangi 11 gelaran liga bagi empat negara, menjaringkan lapan gol dalam 17 penampilannya bersama United setakat ini.

Pemain itu menempa nama selepas menjaringkan lima gol dalam lima perlawanan awalnya, tetapi dia baru saja mengakhiri kemarau gol dalam enam perlawanan Liga Perdana apabila menjaringkan dua gol ketika kemenangan 3-1 kepada Swansea City. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA