Manchester City sambar John Stones

Manchester City sambar John Stones

LONDON, 10 Ogos – Kelab gergasi Inggeris Manchester City kelmarin telah mengumumkan berjaya menyambar John Stones dari Everton dengan nilai perpindahan yang dilaporkan mencecah 47.5 juta pound.

Pemain pertahanan skuad The Three Lions itu menandatangani kontrak selama enam tahun bersama City. Stones, 22, akan menyarung jersi No.24.

“Saya amat berbangga kerana dapat bermain untuk City dan kini perpindahan ini sudah pun dimuktamadkan. Saya bersedia untuk melonjak karier saya ke peringkat tertinggi.

“City merupakan sebuah kelab yang bercita-cita besar dengan pengurus yang hebat. Jadi saya tidak sabar untuk membantu pasukan mengejar impian mereka.

“Saya mempunyai masa yang menakjubkan di Everton. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka dan juga penyokong. Kini hati saya hanya untuk City,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perpindahan ke Manchester City, Stones mengakui terkejut dan tidak dapat berkata-kata.

“Ini adalah hari yang panjang tetapi saya tidak dapat gambarkan bagaimana perasaan saya pada ketika ini. Emosi saya bercampur-baur,” katanya.

Selepas beraksi cemerlang bersama Everton untuk selesai pada kedudukan ke-11 Liga Perdana, Stones sentiasa menjadi buruan pengurus Pep Guardiola sejak setahun yang lalu.

“Kami mahu membantu Stones mempamerkan kualiti sebenarnya bersama pasukan dan memperbaiki apa yang sudah dicapainya.

“Saya menyukai corak permainannya dan tidak sabar untuk melihatnya beraksi bersama pasukan,” kata Guardiola. – AFP