Mancini bidas Gullit

Mancini bidas Gullit

MILAN, 7 Sept – Mantan jurulatih Inter Milan Roberto Mancini menyelar Ruud Gullit yang disifatkannya sebagai cemburu selepas legenda Belanda itu mendakwa beliau gagal untuk menyediakan pemain bagi menghadapi musim baru.

Mancini digantikan oleh Frank De Boer, bekas rakan sepasukan Gullit dalam skuad kebangsaan Belanda apabila dia dipecat oleh gergasi Itali itu atas prestasi hambar dalam kempen Serie A, musim lalu.

Inter mengeluarkan pelaburan besar pada musim panas ini namun permulaan mereka bersama De Boer nampak buruk selepas tewas kepada Chievo pada aksi pembukaan sebelum diikat 1-1 oleh Palermo di laman sendiri.

Gullit mencadangkan Mancini perlu dipersalahkan dan bekas bintang AC Milan dan Chelsea itu berkata, bekas legenda Itali itu gagal untuk menyediakan Inter secara fizikal bagi menghadapi musim baru kerana ‘dia sudah berfikir untuk keluar’.

Mancini kemudian tampil dan menyifatkan tuduhan itu sebagai serius. Dia menegaskan yang Gullit sebagai cemburu kerana dia sendiri gagal untuk memadankan kejayaannya sebagai pemain yang cemerlang dengan kerjayanya di dalam arena kejurulatihan.

“Gullit bernasib baik kerana memperoleh karier permainan yang hebat. Noktah,” kata Mancini menerusi komen di Radio Incontro Olympia.

“Dalam bola sepak, apabila kami sudah menjadi pemain yang hebat dan kemudian kami tidak berjaya dalam apa juga perkara lain kadangkala ia sukar untuk diterima.

“Orang seperti ini bercakap mengenai pemain dan juga jurulatih lain. Jika dia adalah kawan kepada (Frank) De Boer, ia tidak mengapa. Namun ia tidak memberikan dia hak untuk membuat komen seperti itu. Namun Gullit bukan satu-satunya orang seperti itu, ramai lagi orang sepertinya. Dengki adalah perkara yang buruk.”

Mancini sebelum ini berjaya sudah mengumpul tujuh trofi kemenangan termasuk tiga kejuaraan Serie A berturut-turut bersama Inter pada penampilannya bersama kelab itu sebelum ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA