Mancini, Sarri bertelagah

Mancini, Sarri bertelagah

ROM, 20 Jan – Jurulatih Inter Milan, Roberto Mancini berang dengan Maurizio Sarri selain menyifatkan rakan sejawatannya dari Napoli itu sebagai ‘perkauman’ dan mendakwa seterunya itu turut mengeluarkan kata-kata kurang sopan ketika Inter menang 2-0 dalam saingan Piala Itali, awal pagi tadi.

Perbalahan Mancini dan Sarri tercetus selepas Adem Ljajic menjamin kemenangan menjelang hujung perlawanan dalam pertembungan suku akhir di Stadium San Paolo di Naples bagi menambah jaringan pembukaan dari Stevan Jovetic.

“Maurizio Sarri seorang yang bersifat perkauman dan orang seperti dia tidak mempunyai tempat dalam bola sepak,” kata Mancini selepas perlawanan.

“Dia menggunakan kata-kata bersifat perkauman. Dia yang memulakan penghinaan terhadap saya dan kemudian menjerit kepada saya dengan mengeluarkan kata-kata kurang sopan.”

Mancini berkata, Sarri menggunakan perkataan ‘frocio’ dan finocchio’, yang mana kedua-duanya membawa maksud yang mempunyai hubung kait dengan homoseksual.

Jurulatih Inter itu berkata: “Kamu mempunyai hak untuk berhujah, tetapi bukan itu caranya. Saya pergi berjumpa dengannya di bilik persalinan dan dia meminta maaf.

“Tetapi saya memberitahunya yang di England, dia mungkin tidak akan dibenarkan menjejakkan kakinya di padang lagi.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA