Mandzukic sertai Juventus

Mandzukic sertai Juventus

MILAN, 23 Jun (AFP) – Kelab gergasi Itali, Juventus berjaya mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Croatia, Mario Mandzukic dari Atletico Madrid dengan nilai perpindahan 19 juta euro. Juventus dalam laman web rasminya, mengesahkan pemain itu sudah menandatangani kontrak selama empat tahun.

Bekas penyerang Bayern Munich itu berkata, dia sudah bersedia untuk bersaing bagi mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan baharunya itu.

“Ini adalah rumah baru saya dan akan memberikan yang terbaik untuk pasukan ini. Saya suka bandar ini dan berharap akan gembira berada di sini,” jelasnya.

Mandzukic muncul pemain kedua berprofil tinggi menyertai juara Serie A Itali dan naib juara Liga Juara-Juara itu yang sebelum ini turut berjaya memancing Paulo Dybala dari kelab Palermo.

Kedua-duanya dikatakan mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas penyerang Manchester City, Carlos Tevez yang ketika ini kuat dikaitkan dengan kelab negara kelahirannya, Boca Juniors.

Mario Mandzukic menyertai Juventus musim depan dengan nilai perpindahan 19 juta euro. – Reuters
Mario Mandzukic menyertai Juventus musim depan dengan nilai perpindahan 19 juta euro. – Reuters

Musuh tetangga Juve, Inter Milan dalam pada itu dilaporkan hampir melengkapkan perpindahan pemain tengah berkualiti Monaco, Geoffrey Kondogbia.

Pemain kelahiran Perancis itu dikatakan sudah berada di ibu negara Itali, Rom untuk menjalani ujian perubatan.

Pengurus Juventus, Massimiliano Allegri telah mengesahkan perpindahan Mandzukic sebelum hujung minggu lalu.

“Perpindahan ini dibuat bukanlah untuk menggantikan Carlos Tevez, tetapi untuk mendapatkan pemain baharu dan menilai corak permainan mereka.

“Selain kehadiran Mandzukic, kami juga mempunyai pemain-pemain muda yang berkualiti seperti Simone Zaza, Kingsley Coman, Alvaro Morata dan Paulo Dybala,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA