Manfaat Komuniti ASEAN

Manfaat Komuniti ASEAN

pg12_151030_b

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) – ASEAN akan terus menyediakan peluang kepada 630 juta rakyat bagi membolehkan masyarakat serantau itu meraih keuntungan dan manfaat sebagai Komuniti ASEAN.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (gambar) berkata gagasan serantau itu perlu memastikan inisiatif pembinaan komuniti serantau ini benar-benar dirasai oleh rakyat di mana mereka boleh menyertai sepenuhnya dalam proses tersebut.

Beliau berkata memandangkan cabaran besar dalam integrasi ekonomi, ASEAN perlu memberi tumpuan terhadap keutamaan tertangguh dalam meliberalisasikan perkhidmatan dan pemudahan perdagangan dan pergerakan tenaga kerja mahir.

“Satu lagi cabaran ialah meningkatkan kesedaran dan memupuk rasa identity yang mendukung idea Komuniti ASEAN,” kata Anifah dalam ucaptama pada Forum Ulang Tahun ASEAN bertajuk ‘ASEAN: Bersama Maju Ke Hadapan’ di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Othman Hashim.

Anifah berkata pembasmian kemiskinan dan merapatkan jurang pembangunan dalam negara-negara ASEAN juga akan kekal sebagai cabaran utama dalam proses membina masyarakat serantau.

“Dalam aspek ini, ASEAN telah melakukan dengan baik sejak beberapa dekad kebelakangan ini. Namun begitu, mengikut laporan Institut Penyelidikan EkonomiBagi ASEAN dan Asia Barat (ERIA) pada 2010, terdapat 100 juta penduduk hidup dalam kemiskinan mutlak,” katanya.

Anifah berkata dalam tempoh pasca 2015, rantau ini akan terus menyaksikan perubahan persekitaran geo-strategik yang akan memberi tekanan yang lebih kepada ASEAN bagi memastikan keutamaannya.