Manfaat peluang laman sendiri – Klopp

Manfaat peluang laman sendiri – Klopp

LIVERPOOL, 9 Sept – Jurgen Klopp mahu pemainnya menjadikan pembesaran stadium Anfield sebagai landasan untuk kekal sebagai pencabar utama gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini.

Kunjungan juara bertahan Leicester City ke Anfield, malam esok bakal menyaksikan Liverpool secara rasminya bermain di laman sendiri buat kali pertama selepas kerja menaik taraf kerusi penonton siap sepenuhnya dengan penambahan sebanyak 8,500 menjadikan keseluruhan kapasiti berjumlah 54,000.

Projek yang menelan belanja sebanyak 115 juta pound itu sebelum ini terpaksa menyaksikan Liverpool bermain di tempat lawan dalam tiga perlawanan awal musim ini dan mereka sekadar mengutip empat mata sepanjang tempoh berkenaan.

“Empat mata bukanlah yang terbaik tetapi ia tidak kurang hebatnya. Kami menjadi satu-satunya pasukan dalam liga yang mengharungi tiga perlawanan di tempat lawan.

Reaksi Klopp kelmarin semasa merasmikan stadium Anfield yang telah ditambah kapasitinya kepada 54,000 tempat duduk. – AFP
Reaksi Klopp kelmarin semasa merasmikan stadium Anfield yang telah ditambah kapasitinya kepada 54,000 tempat duduk. – AFP

“Kelmarin (Selasa) adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke dalam Anfield sejak perlawanan menentang Chelsea (minggu terakhir saingan liga musim lalu). Ia menakjubkan dengan apa yang mereka sudah lakukan,” kata Klopp.

Liverpool adalah dua daripada pasukan yang berjaya menewaskan Leicester musim lalu selain Arsenal dan Klopp percaya anak buahnya mampu mengekalkan rekod itu.

“Ini adalah tempat yang baik dan lawan yang hebat. Pasukan juara akan datang, kami akan meraikan mereka. Apa yang mereka lakukan musim lalu menakjubkan.

“Namun, ini adalah musim baru dan ini adalah perlawanan pertama kami di laman sendiri dengan penambahan sebanyak 8,000 penyokong kami di dalam stadium. Ia akan menjadi kekuatan kepada kami dan kami perlu memanfaatkannya,” katanya. – AFP