Manfaat pengetahuan daripada kursus

Manfaat pengetahuan daripada kursus

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – Seramai 26 orang peserta berjaya menyertai dan menamatkan Kursus Pegawai Staf Rendah (JSC) 2015 di mana mereka menerima sijil tamat kursus di majlis penutup kursus yang berlangsung di Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Tanah Jambu, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud. Turut hadir di majlis berkenaan ialah pemerintah-pemerintah, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan ABDB, atase dan penasihat pertahanan serta staf Akademi Pertahanan.

Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan dalam ucapannya menyatakan bahawa Kursus Pegawai Staf Rendah merupakan kursus yang amat berguna dalam pembangunan sumber yang direka bukan sahaja memperluaskan ilmu pengetahuan para pegawai tetapi juga bagi membangunkan kebolehan pemikiran kritis dan kemahiran analisis mereka.

Beliau menyatakan harapan supaya para peserta kursus dapat memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan daripada kursus itu untuk menghadapi suasana dinamik dengan lebih kompeten dan berkeyakinan.

Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bergambar ramai dengan para pegawai yang berjaya menamatkan Kursus Pegawai Staf Rendah 2015.
Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bergambar ramai dengan para pegawai yang berjaya menamatkan Kursus Pegawai Staf Rendah 2015.
Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan menyampaikan sijil kepada para peserta kursus.
Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan menyampaikan sijil kepada para peserta kursus.

Di majlis itu, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan turut menyampaikan hadiah kepada peserta-peserta kursus terbaik iaitu Penuntut Terbaik Keseluruhan dan Esei Penyelidikan Terbaik disampaikan kepada Kapten (U) Wan Muhd Azem bin Haji Muhd Aminuddin manakala Kertas Servis Terbaik disampaikan kepada Kapten Hajah Norul Hafidzah binti Haji Muhammad.

Kursus selama 14 minggu yang bermula pada 7 September lalu disertai oleh seramai 26 orang peserta terdiri daripada 19 orang pegawai dari ABDB, seorang pegawai dari Pasukan Polis Diraja Brunei dan enam orang penuntut antarabangsa dari Republik Indonesia, Malaysia, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand dan Republik Sosialis Vietnam.

Kursus itu merupakan kursus penting bagi pegawai staf rendah untuk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan ketenteraan mereka menerusi program yang diatur dalam kursus yang menumpukan kepada ilmu pengetahuan profesional, kepimpinan dan pengurusan, kemahiran komunikasi serta perancangan operasi.

ARTIKEL YANG SAMA